Pengerusi LTAT, Raja Mohamed Affandi lepaskan jawatan seminggu selepas CEO letak jawatan | DagangNews Skip to main content

Pengerusi LTAT, Raja Mohamed Affandi lepaskan jawatan seminggu selepas CEO letak jawatan

Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor

KUALA LUMPUR 9 Feb - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan persaraan Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor daripada jawatan pengerusi, berkuat kuasa 8 Februari 2024.

 

LTAT berkata, tempoh perkhidmatan Raja Mohamed Affandi, yang bermula pada 2021, ditandai oleh komitmen tidak berbelah bahagi dalam mengukuhkan tadbir urus korporat dana persaraan angkatan tentera itu.

 

Ia berkata, kepimpinan beliau adalah penting dalam melakar pencapaian bermakna, terutama mendapatkan kelulusan bagi pindaan kepada Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 (Akta 101), yang disasarkan untuk memperkasakan rangka kerja tadbir urus korporat LTAT.

 

Katanya, di bawah kepimpinan Raja Mohamed Affandi, LTAT memulakan Garis Panduan & Dasar Risiko Pelaburan, kayu ukur penting yang menjamin perlindungan pelaburan LTAT sambil mengoptimumkan profil pulangan-risiko.

 

"Lembaga Pengarah, pengurusan dan kakitangan LTAT menzahirkan penghargaan paling mendalam kepada Jeneral Tan Sri Raja Affandi di atas kepimpinan dan sumbangannya yang tidak ternilai sepanjang tempoh perkhidmatan, selain mengucapkan selamat maju jaya," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

 

Bagaimanapun, ketika dihubungi The Edge hari ini, Raja Mohamed Affandi menjelaskan bahawa beliau meletakkan jawatan, dan bukan bersara seperti yang diumumkan oleh LTAT semalam.

 

"Saya tidak bersara, saya meletak jawatan," kata Raja Mohamed Affandi, ketika dihubungi. "Itu adalah dua konotasi yang berbeza."

 

Pelepasan jawatan beliau itu hanya kira-kira seminggu selepas lembaga pengarah LTAT mengumumkan pengunduran ketua eksekutifnya, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman berkuat kuasa 31 Mac lalu.

 

LTAT baru-baru ini mengeluarkan kenyataan yang menegaskan ia kekal komited dalam memastikan kemampanan dana jangka panjang selain terus meneroka semua pilihan pelaburan bersama pihak berkepentingan yang berkaitan termasuk badan kawal selia dan Kementerian Pertahanan, seperti yang diamanatkan oleh Akta 101, lapor Berita Harian.

 

BACA JUGA: Datuk Ahmad Nazim lepaskan jawatan ketua eksekutif LTAT

 

Penjelasan itu adalah selepas laporan sebuah portal berita yang mengaitkan pengunduran Ahmad Nazim sebagai tindak balas kepada penangguhan penstrukturan semula badan itu. - DagangNews.com