Pengesahan pengambilan lebih 2,000 pekerja Bangladesh untuk 15 syarikat telah diselesaikan - Kementerian Sumber Manusia | DagangNews Skip to main content

Pengesahan pengambilan lebih 2,000 pekerja Bangladesh untuk 15 syarikat telah diselesaikan - Kementerian Sumber Manusia

Oleh Mohamad Iman

PUTRAJAYA 14 Julai - Proses pengesahan (Attestation) melibatkan 15 syarikat telah diselesaikan oleh pihak Suruhanjaya Tinggi Bangladesh yang membabitkan bilangan pekerja warga Bangladesh lebih 2,000 orang.

 

Kementerian Sumber Manusia berkata, proses berkaitan dengan pengambilan pekerja warga Bangladesh telah bermula dengan kerjasama daripada pihak Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur.

 

"Proses ini dijangka meningkat pada minggu-minggu akan datang," kata kementerian dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Ini menunjukkan bahawa isu-isu teknikal yang dihadapi sebelum ini bagi proses pengambilan pekerja warga Bangladesh ke negara ini telah dapat ditangani, ujar kementerian tersebut.

 

"Bagi majikan yang telah membayar levi dan bercadang untuk menggajikan pekerja warga Bangladesh, mereka boleh memanjangkan permohonan ke Suruhanjaya
Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur untuk memohon pengesahan penggajian dan dokumentasi seperti Kontrak Pekerjaan serta Pesanan Kerja (Job Order) bagi pekerja," katanya.

 

Walau bagaimanapun kata KSM, kemasukan pekerja warga Bangladesh ini tertakluk kepada saringan keselamatan dan kesihatan termasuk pematuhan syarat-syarat Jabatan Imigresen Malaysia. - DagangNews.com