KUALA LUMPUR 20 Sept - Profil kredit Axiata Group Bhd. dijangka terus melemah berikutan cadangan penggabungan menerusi unitnya, Celcom Axiata Bhd. dan Digi.com Bhd., yang kini semakin hampir untuk dimuktamadkan.
S&P Global Ratings berkata, transaksi tersebut akan menghakis kualiti pendapatan Axiata dengan peningkatan hutang (leverage) daripada pengambilalihan itu akan memberi tekanan kepada profil kreditnya.
Penarafan pada Axiata (BBB+/Watch Neg/--) adalah pada CreditWatch dengan implikasi negatif untuk menggambarkan kemungkinan penurunan taraf kepada 'BBB' susulan penggabungan Celcom-Digi yang hampir diselesaikan tidak lama lagi.
Agensi penarafan itu menjangkakan penyelesaian status CreditWatch selepas keputusan kawal selia penggabungan yang dicadangkan, mungkin diketahui menjelang akhir 2022.
"Dalam penyelesaian CreditWatch ini, kami akan mempertimbangkan jangkaan terhadap selera risiko kewangan jangka panjang Axiata.
"Ini memandangkan hutang Axiata semakin meningkat berikutan beberapa siri pengambilalihan," katanya dalam kenyataan bertarikh 19 September seperti dilapor The Edge hari ini.
Menurutnya, kumpulan telah melaksanakan pengambilalihan bernilai hampir RM9 bilion sejak 12 bulan lalu.
Ia termasuklah pembelian aset menara PLDT Inc. di Filipina, Touch Mindscape Sdn. Bhd. di Malaysia dan PT Link Net Tbk di Indonesia (termasuk tawaran tender mandatori yang masih berjalan).
S&P Global menyifatkan hutang yang semakin meningkat ini berlaku di tengah-tengah kemungkinan penurunan dalam kualiti pendapatan.
"Pada pandangan kami, penggabungan Celcom-Digi akan melemahkan kualiti pendapatan Axiata. Ini terutamanya disebabkan kehilangan kawalan langsung ke atas aliran tunai daripada Celcom, yang telah menyumbang kira-kira satu perempat daripada EBITDA Axiata.
"Selepas transaksi ini, EBITDA diselaraskan Axiata, yang merangkumi dividen daripada entiti gabungan Celcom Digi Bhd., akan menjadi lebih tidak menentu,” jelasnya.
Mengulas lebih lanjut, ia berkata, situasi itu mungkin disebabkan dividen tidak menentu dengan keperluan aliran tunai Celcom Digi yang lain seperti perbelanjaan modal.
Malah, menurutnya, kebergantungan yang lebih kuat terhadap aliran tunai daripada pasaran baharu muncul selepas penggabungan Celcom-Digi juga boleh mendedahkan pendapatan Axiata kepada risiko yang lebih besar.
"Walaupun pasaran sedemikian, termasuk Sri Lanka, Bangladesh dan Nepal, mempunyai potensi pertumbuhan yang lebih baik, tetapi ia tertakluk kepada lebih banyak risiko kawal selia dan ketidaktentuan berbanding Malaysia.
"Sebagai contoh, krisis ekonomi di Sri Lanka menyebabkan hampir penyusutan hampir 40% dalam mata wangnya berbanding ringgit sejak awal Mac 2022.
"Ini akan menjejaskan lagi sumbangan pendapatan daripada operasi Axiata di Sri Lanka," katanya.
Kualiti pendapatan Axiata yang lebih lemah akan diterjemahkan kepada toleransi hutang yang lebih rendah pada tahap penarafan 'BBB+'.
Agensi penarafan itu percaya kumpulan akan melanggar paras ambang hutang yang lebih ketat ini.
"Berdasarkan anggaran kami, nisbah hutang kepada pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) Axiata akan meningkat kepada 2.7 hingga 2.8 kali pada 2023, daripada 2.2 kali pada 2021.
"Anggaran ini mengambil kira semua cadangan pengambilalihan diselesaikan dan langkah penggabungan Celcom-Digi diteruskan," jelasnya. - DagangNews.com