Penghuni asrama anak yatim piatu selama 13 tahun raih ijazah PhD | DagangNews Skip to main content

Penghuni asrama anak yatim piatu selama 13 tahun raih ijazah PhD

Dr Hadi bersama pelajar anak-anak yatim perempuan di Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim Damai, Kuang

SERDANG 23 Mac – Siapa sangka anak yatim piatu yang menghuni di asrama anak yatim selama 13 tahun telah berjaya menggenggam ijazah tahap tertinggi iaitu Doktor Falsafah (Ph.D) semalam.

 

Dr. Abdul Hadi Samsi, 33, yang menghuni di asrama anak yatim sejak usia tujuh tahun hingga 19 tahun telah dikurniakan ijazah PhD dalam bidang sains politik dan kerajaan semasa Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM)  kali ke-45 di sini.

 

“Saya hadiahkan kejayaan ini buat keluarga dan semua guru-guru yang menjaga saya di Persatuan Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim Damai, Kuang, Selangor selama 13 tahun dan mendidik saya seperti anak mereka sehingga ke peringkat universiti,” ujar Hadi sebak.

 

Kehilangan ayah ketika dia berusia 5 tahun kerana kanser tulang, menyebabkan beberapa tahun kemudian, mereka empat beradik terpaksa ke asrama anak yatim dan berpisah dengan ibu yang kesusahan kerana berkerja kampung.

 

Dugaan mereka bertambah getir apabila ibu mereka meninggal dunia kerana sakit kanser perut ketika Hadi di tingkatan 4, menjadikan mereka empat beradik sebagai anak yatim piatu.

 

Beliau tidak melupakan jasa baik Ustaz Suhaimi Dzajuli yang merupakan pengasuhnya paling lama di asrama anak yatim yang tidak jemu membantunya sehingga berjaya dalam pelajaran.


 

UPM
Dr. Hadi bersama Ustaz Suhaimi Dzajuli, pengasas rumah anak yatim Damai Kuang dan pengasuh di asrama anak yatim yang tidak jemu membantunya sehingga berjaya dalam pelajaran. Gambar UPM

 

UPM
Dari kiri, Syafiq Suhaimi (Pengetua Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim Damai, Kuang);  Ustaz Suhaimi Dzajuli (Pengasas Rumah Anak Yatim Damai), Dr Hadi dan Ustaz Khairul Nizam Suhaimi (Guru Pembimbing). - Gambar UPM


 

“Buat adik-adik yang menghuni di mana juga rumah anak yatim, janganlah merasa kekurangan tiada insan tersayang di sisi sebagai sebab untuk tidak boleh cemerlang dalam pelajaran.

 

“Masih ada rakan-rakan senasib di asrama dan guru-guru yang menyayangi kita seperti saudara kandung sendiri. Mari kita balas kepercayaan ini,” kata Hadi.

 

Buat masa ini Hadi bekerja sebagai Pegawai Khas kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM dan merancang untuk menjadi pensyarah di UPM tidak lama lagi. - DagangNews.com