KUALA LUMPUR 23 Mac – Inisiatif Menu Rahmah yang diperkenalkan oleh kerajaan dan digerakkan oleh peniaga (private driven initiative) mungkin tidak dapat mencapai objektifnya disebabkan oleh penglibatan firma besar yang menyebabkan persaingan tidak adil antara firma besar dan peniaga kecil.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia, Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata firma besar mempunyai jumlah cawangan yang meluas dan menurut teori ekonomi, firma besar mampu bertahan dan kekal beroperasi dalam situasi kos purata yang kompetitif dalam jangka panjang.
"Mereka (firma besar) sudah mencapai ekonomi skala dan dapat mengeluarkan setiap unit Menu Rahmah dengan margin yang lebih baik berbanding dengan peniaga kecil yang berhadapan dengan tekanan kos input (bahan mentah) menjadikan relatif unit peniaga kecil menjadi lebih mahal," beliau memberitahu DagangNews hari ini.
Beliau berkata, firma besar mempunyai kelebihan dan mampu menampan keadaan dengan menawarkan pelbagai menu dan mengagihkan kos ke seluruh menu.
"Menu peniaga kecil adalah terhad jika dibandingkan dengan menu firma besar dan menurut teori ekonomi, peniaga kecil lebih mudah untuk "berinteraksi" seperti menyerap kenaikan kos (berbanding firma besar yang cenderung menyalurkan kenaikan kos kepada pengguna mereka," jelah beliau lagi.
Namun begitu, Muhammad Ridhuan berkata situasi tersebut tidak dapat dielak mahupun dihalang, memandangkan dari segi persaingan kerana struktur pasaran persaingan memberi lebih kebaikan kepada pengguna akhir.
Mengambil contoh pembukaan pasar raya besar dan kesan terhadap kedai runcit, Muhammad Ridhuan berkata pembukaan pasar raya serta tambahan cawangan telah memberi kesan yang mendalam dan hebat kepada sektor peruncitan.
"Ada kebaikan sekiranya pengenalan inisiatif ini dapat disertai dengan kos input yang berpatutan," tegas beliau.
Ditanya mengenai faktor penglibatan firma besar dalam inisiatif ini, Muhammad Ridhuan berkata melihat dari aspek kumpulan pengguna, peningkatan permintaan Menu Rahmah menyebabkan firma besar menyasarkan Menu Rahmah.
Sementara itu inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu dilaporkan menarik penyertaan lebih 15, 000 restoran di seluruh negara, menyaksikan golongan sasar memanfaatkan sepenuhnya usaha itu yang menurut mereka sedikit-sebanyak membantu meringankan beban yang ditanggung.
Sehingga 12 Mac, Menteri KPDN Salahuddin Ayub berkata sebanyak 1,531 premis telah didaftarkan, disokong oleh sekurang-kurangnya 10 jenama terkemuka dengan lebih 1,350 cawangan di seluruh negara.
Rangkaian makanan segera McDonald menawarkan tiga set Menu Rahmah dengan harga berharga RM5, dan pada masa yang sama, Burger King turut menawarkan Menu Rahmah terdiri daripada burger (ayam atau daging lembu dengan keju) dan sebotol air minuman dengan harga RM5.
Inisiatif Menu Rahmah turut ditawarkan oleh Old Town White Coffee, Burger King, Bubble Bee, The Manhattan, Texas Chicken, MarryBrown, A&W dan lain-lain. – DagangNews.com