KUALA LUMPUR 19 Sept - Pusat Pilihan Pengguna (CCC) menerbitkan sebuah laporan bagi mendapatkan pandangan alternatif daripada pakar pelbagai bidang serta menilai dan meneliti rang undang-undang secara komprehensif dengan mengambil kira aspek kesihatan, perundangan, ekonomi dan kebolehlaksanaan.
Wakil Pusat Pilihan Pengguna Malaysia, Tarmizi Anuwar berkata, Laporan Perbincangan Meja Bulat Mengenai Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam: Ruang untuk Penambahbaikan itu bertujuan menyediakan cadangan penambahbaikan rang undang-undang kepada Jawatankuasa Pilihan Khas, Kementerian Kesihatan (KKM) dan penggubal dasar.
Katanya, laporan ini penting untuk diteliti oleh pembuat dasar bagi memastikan dasar Generasi Penamat (GEG) dikaji dengan lebih mendalam dan mengambil pendekatan yang lebih praktikal serta boleh dilaksanakan.
"Pembuat dasar wajar meneliti intipati laporan ini kerana kerisauan kita adalah rang undang-undang tembakau ini akan berakhir dengan peningkatan perdagangan haram dan kekurangan penilaian impak yang menyeluruh terutamanya kepada pengguna.
"Pihak kerajaan juga perlu melakukan proses libat urus yang lebih bermakna dan berkualiti bagi memastikan setiap pihak berkepentingan dilibatkan dengan betul dalam proses perundingan.
"Kita tidak mahu hanya diberikan sekadar antara 10 ke 15 minit pembentangan tetapi tidak mempunyai sebarang perbincangan secara lanjut selepas itu," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kedai Kopi Petaling Jaya, Keu Kok Meng berkata, sehingga kini KKM atau penguatkuasa undang-undang tidak boleh mengawal undang-undang semasa seperti merokok di kedai makan.
"Di kedai kopi saya tidak nampak penguatkuasa undang-undang datang untuk melarang orang merokok.
"Kerajaan dah buat semua iklan tapi orang masih merokok. Yang paling penting tanggungjawab penguatkuasaan perlu dilakukan oleh badan penguatkuasa dan bukannya kedai kopi," katanya.
Menurut kajian Benedict Weerasena sehingga Mei 2021, rokok seludup terus meningkat dan menekankan peri penting penguatkuasaan menangani isu perdagangan haram sebelum memperkenalkan dasar generasi penamat.
"Katanya, kesan ke atas GEG bagi peruncit ialah kehilangan hasil, kos pematuhan, kos peralatan, kos pemantauan, kos peluang dan yuran guaman.
"Berdasarkan kajian kami, jumlah kos penguatkuasaan untuk GEG dianggarkan sebanyak RM303 juta setahun termasuk kos trek tembakau, kempen kesedaran awam, kos pentadbiran, penguatkuasaan tambahan untuk menyekat pertumbuhan pasaran rokok haram.
"Kita tidak mahu jadi seperti Afrika Selatan pada Mac 2020 kerajaan mereka memperkenalkan larangan ke atas penjualan produk tembakau.
"Tetapi 93% perokok masih boleh terus membeli rokok dan harga purata meningkat sebanyak 250%. Sekiranya perkara ini tidak dikawal ia menghasilkan persepsi negatif bahawa negara kita lebih mengutamakan penyeludupan berbanding sumber yang sah," katanya. - DagangNews.com