Pengukuhan sektor logistik, infrastruktur rantaian bekalan bantu negara membangun menyumbang kepada perdagangan global - Ismail Sabri | DagangNews Skip to main content

Pengukuhan sektor logistik, infrastruktur rantaian bekalan bantu negara membangun menyumbang kepada perdagangan global - Ismail Sabri

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan ucaptama di Simposium Antarabangsa Logistik dan Rantaian Bekalan (ISLSC) di Universiti Teknologi Rajamangala (RMUTT), Bangkok.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Feb - Pengukuhan sektor logistik dan infrastruktur rantaian bekalan dilihat membantu negara membangun menjadi penyumbang utama kepada perdagangan global serta peningkatan ekonomi sendiri.

 

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu dapat dicapai sekiranya negara-negara membangun memberikan fokus kepada bidang teknologi, memperkemas prosedur kastam dan budaya amalan mampan.

 

Selain itu, beliau berkata, penekanan kepada tenaga kerja mahir dan inovasi juga menjadi antara faktor kepada pengukuhan sektor logistik dan memastikan rantaian bekalan tidak terjejas.

 

“ASEAN telah memberikan inspirasi kepada kita dengan model yang berharga bagi kerjasama serantau, memupuk daya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi selain mewujudkan persekitaran rantaian bekalan yang teguh dan mampan dengan penekanan integrasi ekonomi serta kemudahan perdagangan.

 

“Inisiatif seperti ASEAN Single Window menyelaraskan prosedur kastam dan menggalakkan penggunaan teknologi mampan di seluruh negara anggota,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Simposium Antarabangsa Logistik dan Rantaian Bekalan (ISLSC) di Universiti Teknologi Rajamangala (RMUTT), hari ini.

 

mail
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menghadiri Simposium Antarabangsa Logistik dan Rantaian Bekalan (ISLSC) di Universiti Teknologi Rajamangala (RMUTT), Bangkok.

 

Simposium yang dianjurkan oleh The Chartered Institute of Logistics and Transport Malaysia itu dihadiri oleh ahli akademik dari Thailand, Malaysia, Indonesia dan beberapa negara lain.

 

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, perjalanan ke arah pengurusan logistik dan rantaian bekalan yang mampan adalah tanggungjawab bersama.

 

“Ia memerlukan komitmen untuk berubah, keterbukaan terhadap inovasi, dan dedikasi untuk meninggalkan legasi positif untuk generasi akan datang.

 

“Simposium ini juga adalah selaras dengan hasrat Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia untuk memastikan potensi sektor-sektor ini terus berkembang,” katanya.

 

Dalam pada itu, selepas majlis tersebut, beliau turut melancarkan Kursi Dato’ Sri Ismail Sabri yang kedua di institut pengajian awam pertama di Thailand.

 

RMUTT akan menfokuskan kepada penghasilan kamus bahasa Melayu dan Thailand. - DagangNews.com