Pengurangan modal saham RM1.5 bilion mudahkan pengagihan khas Eco World International – Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Pengurangan modal saham RM1.5 bilion mudahkan pengagihan khas Eco World International – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 2 Mei - Cadangan pengurangan modal saham terbitan Eco World International Berhad berjumlah RM1.5 bilion memudahkan pengagihan khas, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Menurut firma penyelidikan itu, usaha korporat tersebut mengurangkan modal saham terbitan kumpulan dan akan digunakan untuk menolak kerugian terkumpul, manakala baki selebihnya akan dikreditkan kepada pendapatan yang dikekalkan, berkemungkinan digunakan untuk pengagihan dividen.

 

“Selepas menyiapkan pengurangan modal yang dicadangkan, kumpulan itu berhasrat memulangkan lebihan tunai dan memberi ganjaran kepada pemegang sahamnya dengan bahagian pertama dividen berjumlah RM300 juta iaitu 33% daripada pengagihan khas berjumlah RM900 juta,” jelasnya dalam nota hari ini.

 

Firma itu berkata walaupun pelaksanaan korporat baharu itu dalam jangkaan, pihaknya terkejut secara positif terhadap pembayaran dividen yang dilaksanakan lebih awal daripada jangkaan sebanyak RM300 juta daripada RM900 juta pengagihan khas menjelang suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (3QFY23).

 

“Selain itu, kumpulan tersebut telah, buat pertama kalinya, menyebut kemungkinan pembayaran dividen selanjutnya selepas pengagihan khas RM900 juta pada 2023 daripada jualan baki stok hartanah tidak terjual seperti yang dilaporkan kami pada 13 April 2023,” tambahnya.

 

Mengulas lanjut berkenaan pengurangan modal, firma tersebut berkata cadangan tersebut memudahkan dan memberikan kumpulan itu kelonggaran untuk mengisytiharkan dan membayar dividen pada masa hadapan.

 

Pelaksanaan pengurangan modal tidak akan mengakibatkan pelarasan harga saham mahupun mengubah bilangan saham dan aliran tunai, kecuali untuk anggaran perbelanjaan yang berkaitan dengan pelaksanaan tersebut, katanya.

 

Di samping itu, usaha korporat itu tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa dan hanya akan dilaksanakan selepas penyelesaian penuh nota jangka sederhana (MTN) bernilai RM270 juta pada 24 Mei 2023.

 

“Amaun agregat untuk MTN Islam yang tidak dinilai ini adalah RM450 juta, di mana RM180 juta telah dibayar pada 27 April 2023,” tambahnya.

 

Firma itu mengekalkan ramalan pendapatan, dengan saranan ‘beli’ harga sasaran (TP) 66 sen sesaham.

 

Setakat pukul 10:05 pagi hari ini, saham Eco World International menokok 2.5 sen atau 4.5% kepada 58 sen, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM1.39 bilion. -DagangNews.com