Penilaian ESG kian ‘ketat’, syarikat tersenarai perlu segera tingkatkan amalan lestari | DagangNews Skip to main content

Penilaian ESG kian ‘ketat’, syarikat tersenarai perlu segera tingkatkan amalan lestari

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Julai - Tiba masanya untuk syarikat Malaysia yang tersenarai di Bursa Malaysia untuk meningkat amalan Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) mereka kerana penanda aras kepada penilaian tersebut bakal meningkat pada masa akan datang.

 

Malah, FTSE Russell baru-baru ini juga telah memperkenalkan standard prestasi iklim baharu dalam semakan semulanya pada 8 Jun 2021. 

 

Menurut CGS-CIMB Research, perubahan itu menetapkan skor iklim minimum untuk kemasukan indeks FTSE4 Good Bursa Malaysia (F4GBM) dan konstituen diberikan tempoh hingga Jun 2022 bagi memenuhi syarat tersebut atau berdepan penyingkiran.

 

Buat masa ini, firma penyelidikan itu mendapati sebanyak 22 daripada 30 saham di dalam indeks KLCI merupakan ahli F4GBM, dengan kebanyakan mereka berada di antara 25% teratas dalam penilaian ESG.

 

“Daripada lapan saham KLCI yang tidak layak memasuki indeks F4GBM, kami mendapati Nestle (Malaysia) Berhad, Top Glove Corporation Berhad dan Dialog Group Berhad antara  25% syarikat berhad awam (PLC) teratas di dalam FBM Emas untuk penilaian ESG.

 

“Top Glove dikecualikan daripada F4GBM dalam semakan Jun baru-baru ini, mungkin disebabkan oleh kontroversi di mana Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) mengeluarkan arahan tahanan ke atas beberapa barangan import dari kumpulan itu pada Julai 2020, mendakwa terdapat unsur buruh paksa, kebimbangan yang pernah ditimbulkan oleh badan bukan kerajaan sebelum ini,” tambah CGS-CIMB.

 

Sementara itu, CGS-CIMB menjangkakan Dialog mungkin tidak memenuhi syarat untuk dimasukkan ke dalam F4GBM kerana tidak memenuhi ambang perubahan iklim minimum.

 

“Kami paling terkejut kerana Nestle bukan sebahagian daripada F4GBM tetapi percaya ini mungkin disebabkan oleh kontroversi yang berkaitan dengan rantaian bekalannya,” tambah CGS-CIMB lagi.

 

Jika dibandingkan dengan beberapa saham syarikat di peringkat serantau, syarikat Malaysia menunjukkan amalan ESG lebih baik dalam indeks FTSE Emerging Market (FEM) berbanding negara lain. 

 

Setakat 30 Jun 2021, ‘weightage’ Malaysia dalam FEM pada kadar 2.72%, lebih tinggi daripada wajaran indeks berkenaan iaitu 1.71%.

 

Dari segi siri FTSE4Good Asean setakat tempoh sama, Malaysia mencatatkan ‘weightage’ sebanyak 21.54%, ketinggalan di belakang Singapura dan Thailand, namun mendahului Indonesia dan Filipina.

 

Pada masa akan datang, CGS-CIMB percaya F4GBM akan menjadi lebih menonjol daripada indeks lain dengan tumpuan dan pemeriksaan oleh pengurus aset di Malaysia mengenai amalan ESG syarikat pelaburan mereka kian meningkat. 

 

Tidak mustahil untuk indeks itu mempunyai liputan terbesar dari segi penilaian ESG bagi syarikat tersenarai di Malaysia dan amalan lestari yang ditetapkan oleh FTSE Russell dalam F4GBM adalah berdasarkan standard global.

 

Sekat ini, terdapat 76 saham syarikat yang tersenarai di dalam indeks F4GBM, peningkatan 24 ahli sejak indeks tersebut dilancarkan pada tahun 2014. 

 

Untuk dimasukkan ke dalam F4GBM, syarikat Malaysia perlu menjadi sebahagian daripada indeks FBM Emas sekurang-kurangnya bagi tempoh enam bulan dan mempunyai penarafan ESG keseluruhan 2.9 atau lebih tinggi. - DagangNews.com