Peningkatan kos operasi dan tekanan inflasi, RHB Investment unjur sektor produk pengguna terus berdepan cabaran | DagangNews Skip to main content

Peningkatan kos operasi dan tekanan inflasi, RHB Investment unjur sektor produk pengguna terus berdepan cabaran

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Sept - Sektor produk pengguna dijangka terus berdepan cabaran kesan daripada peningkatan kos operasi, tekanan inflasi dan perbelanjaan pengguna yang lebih perlahan.

 

RHB Investment berkata, trend pada suku kedua tahun ini dijangka berterusan pada suku ketiga dengan pendapatan menjadi normal daripada asas kukuh pada tahun sebelumnya dan margin keuntungan merosot akibat kos operasi.

 

"Kami menjangkakan suku ketiga 2023 akan menjadi lemah seperti suku kedua akibat kekurangan musim perayaan.

 

"Memandangkan sentimen pengguna yang lemah berikutan tekanan inflasi yang tinggi, kami menjangka lebih banyak aktiviti promosi dan penglibatan pemasaran akan dimulakan bagi merangsang perbelanjaan pengguna," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, terdapat kemungkinan tekanan kos menyusut memandangkan harga komoditi dan tukaran mata wang asing lebih stabil selain penurunan kos pengangkutan.

 

Mereka menjangkakan, margin keuntungan kasar boleh bertambah baik menjelang separuh kedua tahun ini terutamanya bagi pengeluar makanan.

 

"Secara keseluruhannya, kami percaya perbelanjaan pengguna akan kekal berdaya tahan, disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang sihat dan pasaran pekerjaan yang stabil," katanya.

 

Pada suku kedua, RHB Investment berkata, tujuh daripada 13 syarikat di bawah liputannya melaporkan pendapatan yang selaras dengan jangkaan, manakala enam lagi gagal mencapai jangkaan dan satu syarikat menunjukkan peningkatan luar biasa.

 

Katanya, kelemahan adalah berdasarkan asas suku kedua 2022 yang tinggi dikuasai oleh pembukaan semula ekonomi yang meluas dan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pengguna (KWSP).

 

Pertumbuhan jualan bagi syarikat makanan ruji pengguna, bagaimanapun, kekal teguh walaupun berdepan tekanan inflasi dan sentimen pengguna yang berhati-hati.

 

Firma penyelidikan itu kekal dengan saranan 'neutral' terhadap sektor itu sementara menunggu pembentangan Bajet 2024 pada 13 Oktober 2023 bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai potensi perubahan kawal selia. - DagangNews.com