Peningkatan pengeluaran LED akan sumbang 10% kepada hasil D&O Green Technologies pada 2023 - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Peningkatan pengeluaran LED akan sumbang 10% kepada hasil D&O Green Technologies pada 2023 - MIDF Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Jan - MIDF Research menjangkakan pengeluaran LED berkembang pesat dan menyumbang 10% kepada pendapatan D&O Green Technologies Berhad pada 2023.

 

Firma itu berkata, keadaan itu disokong oleh peningkatan purata harga jualan (ASP) selain pengeluaran LED pintar di Kilang 1 sejak 2QFY22.

 

"Kami yakin dua faktor ini akan membantu meningkatkan margin keuntungan pada masa akan datang berbanding ketika ini," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Trend paparan lebar penuh baharu memerlukan hampir 15x (kira-kira 1,000 LED) berbanding paparan kecil semasa dalam kereta yang biasanya terdiri daripada 60-80 LED.

 

Firma itu berkata, kedudukan kumpulan itu sebagai pengeluar jenama asal (OBM) membolehkan mereka mengekalkan kedudukan sebagai lima pengeluar LED dunia walaupun hanya mengendalikan satu kilang.

 

Katanya, Kilang 2 sedang dibangunkan untuk kegunaan sepenuhnya pada tahun 2025. 

 

Firma itu berkata, kedudukannya sebagai OBM membolehkan kumpulan itu meraih pelanggan yang lebih ramai sehingga tiada sebarnag pelanggan tunggal menyumbang lebih 10% daripada hasil kumpulan.

 

"Pengurusan kumpulan menyatakan bahawa 70% hingga 80% pendapatan syarikat diperoleh daripada 30 pelanggan teratas 

 

"Kami positif mengenai perkara ini kerana ia mengurangkan risiko penumpuan pelanggan," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi, RM5.10 sesaham. - DagangNews.com