Peningkatan permintaan daripada AS dijangka dorong eksport kayu Malaysia tahun ini – Johari Ghani | DagangNews Skip to main content

Peningkatan permintaan daripada AS dijangka dorong eksport kayu Malaysia tahun ini – Johari Ghani

KUALA LUMPUR 1 Mac - Eksport kayu Malaysia dijangka pulih tahun ini, disokong oleh lonjakan permintaan daripada pasaran Amerika Syarikat (AS), menurut Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

 

Johari berkata industri perabot Malaysia, yang kebanyakannya berorientasikan eksport, menyaksikan 44% daripada eksport kayunya dihantar ke 186 negara dalam tempoh lima tahun lepas.

 

"AS ialah pembeli terbesar perabot Malaysia, menyumbang lebih separuh daripada eksport perabot.

 

"Pada 2024, kami yakin eksport industri ini akan kembali ke kedudukan asalnya. Kami akan memastikan eksport kita memenuhi piawaian yang diperlukan dunia," katanya selepas merasmikan pelancaran Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF) di MITEC hari ini, lapor New Straits Times.

 

Pada 2023, eksport kayu dan produk kayu susut sebanyak 13.2 % kepada RM21.9 bilion, manakala eksport perabot berkurang 18.1% kepada RM9.1 bilion disebabkan oleh permintaan perumahan yang lemah di AS.

 

Johari berkata pameran perdagangan seperti MIFF memainkan peranan penting dalam memudahkan perdagangan dan mencapai pasaran baharu.

 

“Saya telah difahamkan bahawa jangkaan jualan yang dijana semasa MIFF 2024 boleh mencecah sehingga AS$1.3 bilion (RM6.2 bilion).

 

“Ini adalah sasaran yang sangat memberi inspirasi dan saya harap ia dapat direalisasikan,” ujar beliau.

 

ARTIKEL BERKAITAN: MIFF 2024 diunjur raih jualan AS$1.3 bilion

 

MIFF telah melaporkan peningkatan 6% dalam bilangan pelawatnya tahun ini, menandakan bahawa acara tersebut semakin terkenal dalam industri.

 

Dengan 714 pempamer dari 15 negara dan wilayah, termasuk Malaysia dan beberapa negara pengeluar perabot terkemuka di Asia, MIFF terus menarik pelbagai peserta dan mempamerkan pelbagai tawaran perabot.

 

Pengasas dan Pengerusi MIFF, Datuk Tan Chin Huat berkata, peningkatan pempamer bakal menarik lebih ramai pembeli antarabangsa dan merangsang satu lagi pusingan perniagaan yang mantap selepas jualan melonjak 19% tahun lepas kepada AS$1.21 bilion dan dengan jumlah pempamer tertinggi sebanyak 673 unit.

 

Selain Malaysia, Tan berkata pameran tahun ini disertai oleh syarikat dari Kemboja, China, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Thailand, Türkiye, Vietnam, Emiriah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat .

 

“Dalam tempoh empat hari akan datang, kami menjangkakan 20,000 pengunjung dari seluruh dunia dari 1 hingga 4 Mac,” tambahnya. - DagangNews.com