Penjenamaan 'Mobile E-Waste' kepada KITAR semarakkan budaya kitar semula kepada masyarakat - MCMC | DagangNews Skip to main content

Penjenamaan 'Mobile E-Waste' kepada KITAR semarakkan budaya kitar semula kepada masyarakat - MCMC

Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din (tengah) meletakkan sebuah komputer tablet ke dalam kotak pengumpulan KITAR sebagai tanda simbolik bermulanya Program KITAR sambil disaksikan oleh Datuk Mohammad Ali Hanafiah Mohd Yunus (kiri) dan Shamsul Izhan Abdul Majid di Cyberjaya pada 1 November 2022.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Nov - Program kitar semula e-sisa mudah alih (Mobile E-Waste) seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang diperkenalkan pada tahun 2015, kini telah dijenamakan semula sebagai Projek Kitar Semula Peranti Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi Kecil atau KITAR berkuat kuasa mulai 1 November 2022.

 

MCMC dalam satu kenyataan berkata, dengan penampilan identiti, logo serta tagline baharu iaitu KITAR: Peranti Lama, Nafas Baharu, proses penjenamaan ini bermatlamat untuk mengukuhkan dan menambah baik lagi program berkenaan dalam menyemarakkan semangat menyumbang kembali serta menyemai budaya kitar semula kepada masyarakat. 

 

Menurutnya, ia selaras dengan sasaran Sustainable Development Goals (SDG) yang telah ditetapkan oleh United Nation.

 

"Program ini dijayakan bersama dengan kerjasama enam (6) Designated Universal Service Providers (DUSP) iaitu Celcom Axiata, Digi Telecommunications, Maxis, Redtone, Telekom Malaysia dan Webe.

 

"Di bawah penjenamaan semula itu, usaha penambahbaikan baharu program KITAR meliputi pelbagai aspek seperti pelantikan rakan usaha sama strategik iaitu Shan Poornam Metals Sdn Bhd dan Flash Malaysia Express Sdn Bhd.

 

"Pelantikan itu menambah baik aktiviti kitar semula dan logistik, penyusunan semula pusat sumbangan KITAR di Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) seluruh negara demi kemudahan orang ramai untuk menderma e-sisa selain penstrukturan semula Rakan Strategik kepada Rakan Advokasi dan Drop Point," katanya.

 

Katanya, sebagai permulaan, terdapat 120 lokasi kotak pengumpulan KITAR yang diletakkan di pusat PEDi terpilih dengan peluang ia diperluaskan ke pusat-pusat PEDi lain dan Rakan Drop Point. 

 

 

mcmc

 

 

Hasil yang dijana daripada pembelian balik e-sisa mudah alih ini kemudiannya akan diberikan semula kepada PEDi yang mengambil bahagian dan juga disalurkan untuk acara amal serta aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang lain, katanya.

 

Terdahulu, majlis pelancaran program KITAR itu telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Teknologi dan Inovasi MCMC, Shamsul Izhan Abdul Majid dalam satu majlis ringkas di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya.

 

Turut hadir, Pengerusi Interim MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pegawai Operasi MCMC, Datuk Mohammad Ali Hanafiah Mohd Yunus.

 

 

mcmc

 

 

Tambahnya, sepanjang tempoh tujuh tahun pelaksanaannya, program e-sisa mudah alih telah berjaya mengumpul lebih 4.7 tan metrik sisa elektronik. 

 

"Di samping itu, bilangan Rakan Strategik untuk program berkenaan turut meningkat dengan signifikan apabila sejumlah 44 rakan kongsi dari pelbagai kategori seperti agensi kerajaan dan bukan kerajaan, pihak industri, peruncit, sekolah dan universiti, media mahupun komuniti termasuk PEDi di seluruh negara turut mengambil bahagian berbanding dengan hanya enam Rakan Strategik pada awalnya," katanya. - DagangNews.com