Penjenamaan semula perkukuh kedudukan Malakoff dalam sektor tenaga, peneraju pengurusan sisa | DagangNews Skip to main content

Penjenamaan semula perkukuh kedudukan Malakoff dalam sektor tenaga, peneraju pengurusan sisa

KUALA LUMPUR 31 Mei - Malakoff Corporation Bhd melakukan penjenamaan semulanya bagi mengukuhkan kedudukan syarikat itu sebagai pemain global yang kukuh dalam sektor tenaga dan peneraju pengurusan sisa.

 

Hala tuju baharunya adalah terutamanya untuk mempelbagaikan portfolio perniagaan Malakoff yang terdiri daripada tiga entiti jenama baharu iaitu Malakoff Green Solutions, Malakoff Environmental Solutions dan Malakoff Energy.

 

Pengerusi Malakoff, Tan Sri Ahmad Tajuddin Ali berkata, penjenamaan semula itu adalah bukti komitmen syarikat untuk menjadi peneraju dalam revolusi hijau global sambil menyokong usaha kerajaan untuk beralih kepada ekonomi pekeliling.

 

"Tunjang utama kami adalah sejajar secara langsung dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), serta Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan cita-cita alam sekitar Malaysia sendiri.

 

"Dengan tumpuan pada planet, manusia dan kemakmuran seperti yang terkandung dalam slogan kami iaitu 'Mempertingkatkan Kehidupan, Memperkaya Komuniti', kami berhasrat untuk memberi kesan positif yang mendalam kepada Malaysia," katanya.

 

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran penjenamaan semula Malakoff di sini, hari ini.

 

Pelancaran disempurnakan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

 

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib.

 

Hala tuju baharu Malakoff itu menyaksikan ia mempelbagaikan portfolio perniagaannya dengan memberi tumpuan pada sumber tenaga yang boleh diperbaharui (RE) dan penyelesaian alam sekitar yang komprehensif dengan mewujudkan tiga entiti baharu di bawah naungan jenama baharu.

 

Malakoff Green Solutions untuk sumber tenaga boleh diperbaharui melalui solar, hidro kecil, dan infrastruktur mobiliti karbon bebas.

 

Sementara itu, Malakoff Environmental Solutions untuk penyelesaian kitar semula, pengurusan sisa marin, sisa berbahaya, pengurusan sisa, penyahgaraman air, dan projek sisa kepada tenaga.

 

Manakala, Malakoff Energy untuk penyelesaian kuasa, gas dan penyejukan.

 

Ahmad Tajuddin berkata, Malakoff bersedia untuk membentuk negara menjadi lebih berorientasikan tenaga hijau dan setiap entiti yang baru dibangunkan merangkumi peranan berbeza.

 

Beliau berkata, idea penjenamaan semula itu adalah hasil daripada usaha mengubah persepsi masyarakat terhadap Malakoff dan anak syarikatnya seperti Alam Flora Sdn Bhd.

 

"Ia juga adalah sebahagian daripada inisiatif untuk syarikat menampilkan Malakoff di luar daripada imej syarikat tenaga," katanya.

 

Anwar Syahrin pula berkata, peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui dan bersih adalah proses berterusan yang telah dimulakan syarikat sejak 2021.

 

Katanya, beliau menyedari bahawa Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) syarikat itu akan berakhir pada 2031 dan 2041.

 

Sehubungan itu, beliau mengulangi bahawa sebagai syarikat tersenarai awam, Malakoff perlu memastikan kesinambungan operasi perniagaan dengan bergerak ke hadapan berpandukan rangka kerja yang mampan, lapor Berita Harian.

 

"Sebahagian daripada rancangan jangka panjang syarikat adalah untuk menghentikan penggunaan arang batu.

 

"Bagaimanapun pada masa ini, syarikat mengutamakan usaha mengurangkan pelepasan karbon daripada mana-mana megawatt yang dijana syarikat," katanya. - DagangNews.com