Penjualan dua anak syarikat di Indonesia hasilkan untung bersih RM107 juta kepada Sime Darby Plantation - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Penjualan dua anak syarikat di Indonesia hasilkan untung bersih RM107 juta kepada Sime Darby Plantation - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Julai - Penjualan dua anak syarikat di Indonesia akan menghasilkan keuntungan bersih sebanyak RM107 juta kepada Sime Darby Plantation dan memungkinkan pembayaran dividen lebih tinggi daripada jangkaan pada FY23.

 

Kenanga Research berkata, penjualan itu merupakan sebahagian daripada penyelesaian ia ke atas pertikaian undang-undang sejak 2008.

 

Firma itu berkata, pada 14 April lalu, kumpulan itu setuju melepaskan dua anak syarikat yang terlibat dengan kelapa sawit di Indonesia pada harga RM518 juta senagai sebahagian daripada perjanjian penyelesaian dengan PT Asa Karya Multi Pratama (pembeli merangkap plaintif).

 

Katanya, pembeli dan plaintif sebelum ini memfailkan saman terhadap kumpulan itu mendakwa surat-menyurat antara kedua-dua pihak telah mewujudkan obligasi jual-beli pada harga RM488 juta. 

 

Firma itu memberitahu, Mahkamah Daerah Jakarta Pusat pada 22 Jun 2023 mendengar kes yang melibatkan perjanjian baru-baru ini dan pada 21 Julai 2023 mengumumkan bahawa kedua-dua pihak wajib mematuhi perjanjian penyelesaian yang telah dibuat oleh pihak-pihak pada April 2023.

 

"Kumpulan itu akan menerima RM518 juta dengan anggaran keuntungan pelupusan RM107 juta dan penyelesaian pertikaian undang-undang yang telah lama wujud.

 

"Tiada perubahan kepada unjuran pendapatan kerana kami telah melaraskan untuk penyelesaian pada April 2023 dengan sumbangan perladangan yang lebih rendah tetapi juga caj faedah yang lebih rendah kerana sebahagian daripada hasil akan membantu mengurangkan pinjaman modal kerja," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, walaupun kos tenaga kerja dijangka meningkat di Malaysia dan Indonesia tetapi tekanan kos keseluruhan dijangka menurun pada separuh kedua tahun ini.

 

Katanya, penurunan itu didorong oleh harga baja yang lebih rendah, kos tenaga yang lebih kompetitif dan hasil tuaian selalunya memuncak pada separuh kedua sekali gus membantu menjadikan kos unit menjadi lebih baik.

 

Firma itu mengekalkan penarafan 'underperform' dengan harga sasaran RM3.65 sesaham. - DagangNews.com