Penumpang domestik melonjak 226% pada Oktober - MAHB | DagangNews Skip to main content

Penumpang domestik melonjak 226% pada Oktober - MAHB

Pergerakan penumpang juga dijangka meningkat bulan-bulan akan datang. - Gambar unplash/karya Sangga Rima Roman Selia

 

 

KUALA LUMPUR 19 Nov - Pergerakan penumpang domestik bulanan menerusi rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) di negara ini meningkat 3 kali ganda kepada 1.18 juta pada Oktober lalu berbanding bulan sebelumnya, 362,000.

 

Ini susulan daripada penamatan sekatan perjalanan domestik, yang menyaksikan ia melonjak sehingga 226% dan kali pertama mencatatkan pergerakan lebih sejuta penumpang di Malaysia pada tahun ini.

 

Selain itu, gabungan operasi kumpulan MAHB di Malaysia dan Turki merekodkan sejumlah 1.4 juta pergerakan penumpang pada bulan lalu dengan peningkatan 28% berbanding September.

 

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, pergerakan penumpang juga dijangka meningkat bulan-bulan akan datang berikutan pengumuman kemudahan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Changi Singapura.

 

Pada masa sama, katanya, gelembung pelancongan antarabangsa Langkawi serta koridor perjalanan antara Malaysia dan Indonesia turut menjadi antara faktor yang mendorong pergerakan penumpang ini.

 

“Inisiatif kerajaan-dengan-kerajaan (G2G) bagi kemudahan perjalanan antarabangsa sudah semestinya akan menyumbang kepada pemulihan industri penerbangan yang terjejas teruk akibat pelaksanaan sekatan perjalanan akibat pandemik COVID-19," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

Iskandar Mizal
Iskandar Mizal Mahmood

 

 

Menurutnya, MAHB juga optimis mengenai permintaan berterusan terhadap perjalanan sama ada bagi tujuan perniagaan atau riadah.

 

Bagi pihak penggiat industri, katanya, MAHB perlu memastikan pelaksanaan langkah-langkah keselamatan secara ketat serta dipatuhi agar penumpang dapat menikmati perjalanan dengan lebih tenang tanpa sebarang kekurangan dalam tahap perkhidmatan yang diberikan.

 

"Sebelum berlakunya COVID-19, laluan KLIA-Changi merupakan laluan penerbangan antarabangsa paling sibuk di dunia bagi 2 tahun berturut-turut iaitu 2018 dan 2019 dengan merekodkan lebih 30,000 penerbangan setahun dan permintaan sama akan terus kekal bagi laluan ini," tambahnya.

 

Selain itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISG) juga secara konsisten mencatatkan aliran pergerakan penumpang yang menggalakkan, sekali gus enggambarkan pemulihan Turki yang ketara dalam sektor penerbangan.

 

Pada Oktober 2021, ISG merekodkan 2.7 juta penumpang bagi pergerakan penumpang antarabangsa, meningkat 13% berbanding bulan sebelumnya.

 

"Kadar vaksinasi Turki yang tinggi iaitu 72.4% membabitkan penduduk dewasa serta pelancaran vaksin COVID-19 sendiri dikenali Turkovac, turut meningkatkan keyakinan pelancong antarabangsa untuk mengunjungi negara itu.

 

"Secara keseluruhannya, ISG kekal menjadi penyumbang utama sebanyak 66% daripada jumlah pergerakan penumpang kumpulan MAHB," jelasnya.

 

Mengenai operasi kargo pula, MAHB telah mencatatkan sebanyak 869,445 tan metrik kargo sehingga Oktober, peningkatan ketara sebanyak 26% berbanding tempoh sama tahun lalu. - DagangNews.com