Penuntut Malaysia, Muhammad Zulfakar Aiman dipilih pemenang Cabaran Pelaburan ASEAN 2023 CGS International | DagangNews Skip to main content

Penuntut Malaysia, Muhammad Zulfakar Aiman dipilih pemenang Cabaran Pelaburan ASEAN 2023 CGS International

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 5 Feb - Penuntut Malaysia, Muhammad Zulfakar Aiman ​​Zulkarnain memenangi tempat pertama Cabaran Pelaburan ASEAN (AIC) 2023 yang dianjurkan CGS International Securities (CGS International).

 

Kejayaan itu membolehkan Muhammad Zulfakar Aiman, mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor membawa pulang wang tunai Dolar Singapura $21,400 (RM75,652) untuk memulakan perjalanan kewangannya.

 

Pembentangan akhir pertandingan yang julung-julung kali diadakan itu berlangsung di Singapura baru-baru ini.

 

CGS International melancarkan AIC pada Julai 2023 dengan matlamat untuk memperkasakan pelajar di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand (MIST) dengan pengetahuan dalam pelaburan mampan dan menyumbang kepada pembinaan pasaran modal yang kukuh.

 

Lebih 5,000 pelajar daripada 500 institut pengajian tinggi di empat negara menyertai AIC, yang merupakan satu-satunya cabaran pelaburan yang disokong oleh keempat-empat bursa saham tempatan (Bursa Malaysia, Bursa Saham Indonesia, Bursa Singapura dan Bursa Saham Thailand).

 

Cabaran lapan bulan itu menyaksikan peserta menerima bimbingan di bilik kelas holistik dan didedahkan dengan pengalaman praktikal melabur dalam sekuriti berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) daripada pakar pelaburan dan kewangan.

 

Menggunakan platform simulasi dengan data langsung, mereka mulanya menguji kemahiran pelaburan baharu mereka dengan pasukan lain di peringkat tempatan. 

 

Pelajar terbaik dari setiap negara beralih ke pembentangan akhir di hadapan sekumpulan hakim yang dihormati di Singapura pada 2 Februari 2024.

 

zul
Muhammad Zulfakar Aiman ​​Zulkarnain memenangi tempat pertama Cabaran Pelaburan ASEAN (AIC) 2023.

 

Muhammad Zulfakar Aiman berkata, menyertai AIC benar-benar membuka mata para peserta kepada dunia pelaburan.

 

"CGS International memberi kami pengetahuan untuk membangunkan kemahiran pelaburan yang tidak akan kami terima daripada bilik kuliah. 

 

"Saya sangat berterima kasih atas peluang ini dan akan cuba menggunakan kemahiran ini untuk meningkatkan kehidupan saya serta membantu orang lain,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CGS International, Carol Fong berkata, AIC memberikan impak pada peringkat individu dan industri apabila berjaya memperkasakan belia dengan kemahiran pengurusan kewangan sepanjang hayat dan pengetahuan pelaburan yang mampan.

 

Kata beliau, ini  yang diharapkan akan menyumbang kepada pembinaan pasaran modal yang kukuh di rantau ini.  

 

"Kami akan berusaha membina AIC untuk kepentingan masa depan kewangan di samping memupuk generasi masa depan yang bertanggungjawab dan menjadi pelabur yang berpengetahuan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Ketua Pegawai Pihak Berkuasa Kawal Selia Saham Singapura, Tan Boon Gin yang juga hakim pertandingan itu pula berkata, pihaknya kagum dengan kualiti pembentangan peserta dan gembira dengan ketulenan yang ditonjolkan.

 

"Terdapat tiga pemenang yang menonjol disebabkan oleh perancangan pelaburan yang dibentangkan mereka sangat terperinci dan menyeluruh yang mana dapat diterangkan kepada hakim secara sangat jelas.

 

"Saya berharab cabaran ini dapat diteruskan untuk membantunkan generasi pemimpin kewangan masa depan," jelasnya.- DagangNews.com