Penurunan harga minyak tidak jejas prospek Uzma - PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Penurunan harga minyak tidak jejas prospek Uzma - PublicInvest

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Mei - Prospek Uzma Berhad kekal kukuh dengan trajektori positif didorong rancangan perbelanjaan modal (capex) pengeluar minyak kekal stabil walaupun harga minyak turun kebelakangan ini.

 

Public Investment Bank (PublicInvest) berkata, pengeluar minyak boleh menyemak semula rancangan capex masing-masing jika harga minyak mentah Brent turun secara berterusan di bawah AS$60 setong.

 

"Walau bagaimanapun, kami percaya keadaan ini tidak mungkin berlaku dalam jangka masa terdekat hingga sederhana memandangkan pemotongan sukarela baru-baru ini daripada ahli OPEC+ untuk menyediakan sokongan psikologi bagi harga minyak pada paras AS$70 setong," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kumpulan itu melaporkan keuntungan bersih teras sebanyak RM5.6 juta pada 3QFY23, 52.4% lebih rendah daripada RM11.7 juta yang dicatatkan pada 2QFY23 apabila hasil turun 38% secara berurutan.

 

Kemerosotan dalam hasil dijangka memandangkan perkhidmatan telaga minyak dan gas (O&G) yang kurang semasa musim tengkujuh.

 

Namun begitu, keuntungan bersih lebih kukuh berbanding keuntungan bersih teras marginal sebanyak RM1.1 juta pada 3QFY22 disebabkan aktiviti perkhidmatan O&G yang lebih tinggi.

 

Secara keseluruhan, keputusan 9MFY23 melebihi anggaran kami dan konsensus FY23 masing-masing pada 85% dan 93% daripada jumlah tahun penuh, disebabkan margin yang lebih tinggi dan kadar cukai berkesan yang lebih rendah.

 

"Kami kekal optimis terhadap prospek Uzma kerana ia terus mengekalkan momentum pertumbuhan pendapatannya dengan mendapatkan kontrak baharu, sebahagian daripadanya diperbaharui dengan semakan nilai yang lebih tinggi," kata firma itu.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.10 sesaham. - DagangNews.com