Penurunan jualan kenderaan dijangka dapat dilihat separuh kedua 2024 - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Penurunan jualan kenderaan dijangka dapat dilihat separuh kedua 2024 - RHB Investment

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 2 Julai - RHB Investment Bank menjangkakan penurunan jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) pada 2024 yang akan dapat dilihat pada separuh kedua tahun ini.

 

Menurut firma penyelidikan itu, walaupun TIV dari awal tahun hingga Mei kukuh, namun terdapat kekurangan pemangkin untuk melonjakkan jualan ke satu lagi tahap tertinggi.

 

"Kami meramalkan TIV 2Q24 yang lebih lemah secara QoQ, disebabkan oleh suku kerja yang lebih pendek akibat tempoh perayaan Aidilfitri dan cuti umum lain.

 

 

 

"Tahun ke tahun (YoY), kami percaya suku kedua 2024 (2Q24) akan mencatatkan peningkatan jualan yang lebih baik disebabkan oleh asas rendah manakala Perodua (yang menyumbang lebih daripada 40% kepada TIV YTD) mencatat pertumbuhan yang cemerlang pada bulan Mei iaitu 20% YoY, membawa TIV Mei kepada +8% YoY YTD," katanya dalam nota penyelidikan. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Jualan kenderaan 2024 diunjur naik 740,000 buah, peningkatan 18% berbanding unjuran awal - RHB Investment
  

Sementara itu, RHB Investment berkata, prestasi sektor automotif yang dicerminkan daripada keputusan 1QFY24 kebanyakannya tidak memenuhi jangkaan.

 

Kata firma itu, Sime Darby dan Tan Chong Motor kedua-duanya gagal mencapai unjuran manakala hanya MBM Resources mengatasi jangkaan manakala keputusan Bermaz Auto bagi FY24 seperti dijangkakan. 

 

"Selepas pengambilalihan UMW, pendapatan Sime Darby Auto terjejas oleh kos faedah yang lebih tinggi daripada yang dijangka berikutan sumbangan rakan kongsi yang lebih lemah.

 

"Tan Chong Motor pula memulakan FY24 dengan kerugian yang berterusan. Pendapatan MBM melebihi jangkaan berikutan jualan Perodua yang lebih kukuh sepanjang suku itu, naik 9% YoY. 

 

"Bermaz Auto menutup buku FY24 dengan keuntungan tahunan dngan rekod tertinggi sekali lagi, susulan volum jualan Mazda yang kukuh (+18% YoY)," jelasnya.

 

Tambahnya, saranan kepada sektor ini kekal pada Neutral berdasarkan prestasi TIV yang lebih lemah kerana normalisasi volum jualan yang berkemungkinan pada 2H24. 

 

"Bermaz Auto tetap menjadi Pilihan Utama kami, kerana kami masih suka dengan hasil dividen sekitar 9% dan percaya jualan keretanya akan kekal tahan berbanding jenama lain," ujarnya. - DagangNews.com