Penyelidik cadang kerajaan wujudkan polisi pro-kemiskinan | DagangNews Skip to main content

Penyelidik cadang kerajaan wujudkan polisi pro-kemiskinan

Prof Datuk Dr Azizan Baharuddin (kiri) sebagai moderator bersama tiga penyelidik yang membentangkan kajian bertemakan Kemiskinan dan Pembangunan B40 pada Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial di Putrajaya pada 13 Oktober 2022. - Gambar DagangNews.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PUTRAJAYA 13 Okt - Kerajaan perlu mewujudkan satu polisi pro-kemiskinan bagi memastikan isu kemiskinan dan pembangunan golongan B40 dapat diatasi dengan lebih baik.

 

Pengarah Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan Universiti Malaysia Kelantan, Prof Dr Wan Ahmad Amin Zal Wan Ismail berkata, ia perlu dilakukan segera memandangkan isu kemiskinan ketika ini semakin meruncing lebih-lebih lagi selepas pandemik COVID-19 melanda negara.

 

Beliau berkata, antara yang jelas terkesan dalam isu tersebut adalah golongan M40 yang kini berada dalam kategori B60.

 

“Sekarang adalah masa yang sesuai untuk kerajaan mewujudkan polisi pro-kemiskinan yang mana melibatkan setiap agensi dan kementerian. Polisi ini memerlukan pelaksanaan menyeluruh merentasi agensi dan kementerian seperti mana polisi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

 

“Setakat ini kita tidak pernah ada polisi kemiskinan yang berdiri sendiri. Biasanya tumpang dengan polisi sedia ada seperti sebelum ini, Dasar Ekonomi Baharu (DEB),” katanya selepas membentangkan kajian bertemakan Kemiskinan dan Pembangunan B40 pada Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial di sini hari ini.

 

Wan Ahmad Amir Zal berkata, kejayaan pelaksanaan polisi pro-kemiskinan boleh dilihat menerusi negara China.

 

Beliau berkata, China berjaya mengurangkan kadar kemiskinan sehingga kepada 0.5% sahaja walaupun mempunyai kapasiti penduduk yang ramai dan padat.

 

 

MASA
Prof Dr Wan Ahmad Amin Zal Wan Ismail

 

 

"Penurunan itu sangat ketara memandangkan kadar kemiskinan rakyat China pada 1980-an adalah pada kadar 88%. Ia berikutan negara itu mempunyai polisi khas untuk membasmi kemiskinan.

 

“Polisi khas untuk membasmi kemiskinan ini secara tidak langsung akan membuatkan setiap agensi dan kementerian akan fokus untuk melaksanakannya kerana telah ditetapkan petunjuk prestasi utama (KPI). 

 

"Dengan adanya polisi ini sudah semestinya akan ada bajet dari kerajaan dan ini akan lebih memudahkan bantuan kepada golongan sasaran dapat dilakukan dengan lebih baik,” katanya.

 

 

izan
Prof Datuk Dr Azizan Baharuddin

 

 

Sementara itu, Pengarah Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Azizan Baharuddin yang menjadi moderator untuk sesi tersebut berkata, usaha untuk membasmi kemiskinan perlu melibatkan kerjasama semua pihak.

 

"Kita perlu lebih prihatin dan memerlukan kerjasama erat semua pihak. Selain itu, saya merasakan konsep kekeluargaan itu sangat penting. Pada masa ini, silaturahim dalam keluarga itu dilihat semakin tipis.

 

"Jika ada ahli keluarga yang susah, ahli keluarga lain wajib membantu. Tetapi itu tidak berlaku disebabkan atas dasar berkemungkinan mereka malu, segan atau merendahkan martabat mereka," katanya.

 

Beliau yang juga Felo Kehormat MASA juga menyeru segelintir pihak tidak mengambil kesempatan atas bantuan yang disalurkan kepada rakyat yang memerlukan. - DagangNews.com