Penyusunan semula pelan pemodenan TLDM penting pastikan rancangan transformasi 15to5 dilaksana | DagangNews Skip to main content

Penyusunan semula pelan pemodenan TLDM penting pastikan rancangan transformasi 15to5 dilaksana

Frigat KD Lekiu, satu daripada dua kapal perang moden yang dimiliki TLDM.
FOKUS BERITA oleh ZAKI SALLEH

Mengikut perancangan, sepatutnya dokumen penyusuan semula Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15to5 diumumkan pada Mei lalu.

 

Kelewatan program perolehan kapal tempur pesisir (LCS) yang berlaku adalah antara faktor yang memerlukan penjajaran semula 15to5 ini.

 

Sehubungan itu, kepimpinan TLDM membuat kajian semula agar program 15to5 kekal relevan dengan situasi semasa.

 

 

Program 15to5 ialah dokumentasi TLDM yang menetapkan hanya 5 jenis aset atau kapal perang yang akan diperolehi berbanding 15 jenis berbeza ketika ini.

 

Kapal
Pelan 15to5 bagi menggantikan sebahagian besar daripada kapal-kapal TLDM yang telah berusia.

 

Selain kapal LCS, aset lain ialah kapal misi pesisir (LMS), kapal peronda generasi baharu (NGPV), kapal sokongan pelbagai guna (MRSS) dan kapal selam.

 

Difahamkan, dokumen pelan penjajaran semula ini akan menyatakan program dan garis masa untuk pembinaan serta perolehan aset baharu.

 

Ini bagi menjadikan angkatan itu satu ketumbukan yang ampuh dan dinamik, setaraf angkatan laut negara asing yang lebih moden.

 

Bagaimana pun, sehingga kini dokumen yang dimaksudkan belum kelihatan.

 

TLDM telah merencanakan pelan pembangunan keupayaan aset 15to5 pada 2016 yang bakal melengkapkan armada itu dengan jumlah keseluruhan 55 buah kapal menjelang tahun 2050.

 

Kapal
Frigat KD Jebat.

 

Ini bagi menampung keperluan operasi TLDM yang mana jumlah aset sedia ada terhad selain faktor usia yang semakin usang.

 

Jika melihat pada susunan perancangan, TLDM mensasarkan untuk memiliki 12 buah LCS, 18 buah LMS, 18 NGPV, 3 MRSS dan 4 kapal selam.

 

Bagaimana pun, pelaksanaan 15to5 ketika ini nampaknya memakan masa lebih panjang memandangkan perolehan aset TLDM yang perlahan.

 

Bukan tidak dibuat, sebaliknya disebabkan kelewatan projek LCS menyebabkan rencana pemodenan TLDM terbantut dan terlewat hampir 10 tahun.

 

Faktor lain ialah kekangan kewangan kerajaan menyaksikan komitmen bagi perolehan pertahanan ini dibuat secara berhati-hati.

 

Kapal
Kekuatan skuadron udara TLDM turut diberi fokus dalam Program 15to5.

 

Kapal

 

Baru-baru ini komitmen untuk melaksanakan Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15to5 ditegaskan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari ketika di Dewan Rakyat.

 

Katanya, perubahan landskap geopolitik dan geostrategi serta kekangan kewangan termasuk cabaran dalam industri menyebabkan penjajaran 15to5 perlu dilakukan semula.

 

Melalui pelan ini juga, TLDM telah memperkasakan sistem keselamatan maritim melibatkan sempadan wilayah Sabah dan melalui peruntukan kewangan yang telah diluluskan.

 

Sejak Rancangan Malaysia Ke-11, (RMK-11) dan RMK12, TLDM telah membeli 4 buah kapal LMS batch pertama, 3 buah helikopter operasi maritim AW139 dan 19 bot pemintas laju (FIC),

 

Kesemua 4 buah LMS dan helikopter HOM ditempatkan di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar, di Kota Kinabalu, Sabah.

 

Kapal
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin semasa menandatangani kontrak pembelian kapal LMS dari Turkiye.

 

Kapal
Pemilikan aset-aset moden bakal memberi suntikan moral pada warga TLDM. 

 

Jumlah helikopter HOM bagaimana pun kurang sebuah apabila terlibat dalam nahas udara di Pangkalan TLDM Lumut pada April lalu.

 

Usaha memperkasa armada TLDM diteruskan dengan temeterainya perjanjian pembelian 3 buah kapal LMS Batch Kedua bersama syarikat STM dari Turkiye.

 

Dengan jangkaan 3 buah kapal LCS akan diterima bermula tahun 2026 hingga 2029, di atas kertas Program 15to5 masih perlahan.

 

Sama ada perlu atau tidak dokumen Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15to5 ini, yang penting ialah jangan jadikan ia hanya satu dokumen bertulis tetapi kemudiannya diubah apabila gagal dipenuhi. - DagangNews.com