IPOH 27 Jun - Kerajaan negeri Perak dengan kerjasama Hospital Ar-Ridzuan di sini menyediakan bantuan Dana Perubatan Sinar untuk pesakit katarak mendapat rawatan secara percuma.
Sebanyak RM100,000 dana diperuntukkan tahun ini untuk golongan B40 berumur 50 tahun ke atas yang mengalami masalah penglihatan dan memerlukan pembedahan katarak.
Bantuan dana ini mula diperkenalkan tahun lalu sebagai inisiatif perubatan dan kesihatan kerajaan negeri menerusi hospital swasta terpilih.
Setiap pemohon yang layak diberikan subsidi sehingga RM3,000 bagi pembedahan katarak.
Pengurus Besar Hospital Ar-Ridzuan, Dahari Masud berkata, setakat ini lebih 80 orang penerima yang layak telah menerima dana tersebut atas dasar inisiatif yang dijalankan.
Menurut beliau, pada tahun lalu sebanyak RM150,000 telah disumbangkan bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan ini.
"Inisiatif kerajaan negeri ini untuk membantu lebih ramai lagi rakyat Perak yang berpendapatan rendah dan memerlukan rawatan segera.
"Pakar oftalmologi akan melakukan diagnosis terhadap pesakit dan kemudian membuat permohonan bagi dana tersebut untuk mereka menjalani pembedahan," ujarnya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, beliau mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Salbiah Mohamed semasa melawat ke hospital tersebut.
Salbiah turut melihat prosedur pembedahan katarak mata yang ditunjukkan oleh pakar Oftalmologi Hospital Ar-Ridzuan melibatkan seorang pesakit.- DagangNews.com