Perak tubuh Majlis TVET Negeri sasar jadi pengeluar tenaga kerja mahir negara menjelang 2030 | DagangNews Skip to main content

Perak tubuh Majlis TVET Negeri sasar jadi pengeluar tenaga kerja mahir negara menjelang 2030

Saarani diberi penerangan semasa melawat salah satu ruang pameran semasa melancarkan Majlis TVET Negeri Perak di Ipoh.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 7 Feb - Kerajaan negeri mensasarkan Perak sebagai hab pengeluar tenaga mahir yang memfokuskan tiga fungsi utama iaitu menarik potensi, perluasan industri dan sosioekonomi. 

 

Fokus pada bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) ini dapat menjadikan Perak koridor dalam kemahiran tersebut.

 

Sehubungan itu, Majlis TVET Negeri Perak diwujudkan bagi memainkan peranan sebagai pemandu hala tuju strategik ekosistem TVET yang mendapat kerjasama baik antara pemegang taruh awam dan swasta. 

 

Majlis ini juga bertindak sebagai badan pemantau pencapaian pembangunan modal insan agar memenuhi keperluan industri semasa.

 

TVET
Saarani (tengah) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara Pusat Aspirasi Anak Perak dengan wakil Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran.

 

Sesuai dengan slogan ‘Satu Warga, Satu Skil’, sasarannya adalah menjadikan Perak sebagai Koridor TVET Malaysia menjelang 2030.

 

Pada masa sama kerajaan negeri turut memastikan segala perancangan dan pelaksanaan projek-projek pelaburan berimpak tinggi di Perak turut terlibat sama.

 

Antaranya memperluaskan pasaran TVET dalam persediaan tenaga kerja terlatih menerusi projek Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), pembangunan Silver Valley Technology Park (SVTP), Kerian Hi-Tech Park serta projek Perak Halal Industrial Park@Lekir (Perak HIP).

 

Beberapa inisiatif juga telah dilaksanakan bagi mendokong projek Pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjong Malim dalam menampung keperluan tenaga kerja berkemahiran.

 

Sebagai persediaan awal, Politeknik Sultan Azlan Shah Behrang akan dijadikan hab latihan automotif dengan perkongsian tenaga pengajar industri bagi merangka kursus latihan yang lebih terperinci.

 

TVET

 

Ia berdasarkan mesin, teknologi, prosedur operasi standard serta keperluan industri. 

 

Selain itu, kerajaan negeri juga menghantar 50 orang belia ke China yang juga negara pelopor TVET bagi mengikuti latihan kemahiran jangka pendek dan panjang.

 

Ini sebagai langkah permulaan membangunkan modal insan.

 

Seramai lima orang anak Perak juga akan dihantar mengikuti Program Latihan Dual Vokasional di Jerman selama 3 tahun dengan kerjasama Felcra Education Services Sdn Bhd dan Study Germany. 

 

Semua ini adalah usaha untuk menjadikan Negeri Perak sebagai hab tenaga mahir negara.

 

Terdahulu, majlis pelancaran Majlis TVET Negeri Perak ini telah disempurnakan oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad di Hotel Casuarina.

 

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri Perak, A. Sivanesan. - DagangNews.com