Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 27 Dis - Peralihan dasar Malaysia daripada monetari yang akomodatif dan pengembangan fiskal kepada penjimatan dan pengukuhan meningkatkan risiko ketidaktentuan dalam pasaran saham pada tahun hadapan.
Dalam laporan strategi pasaran yang dikeluarkan hari ini, penganalisisnya, Koh Huat Soon berkata, bagaimanapun, ia hanya berlaku pada separuh kedua 2022 dan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Jelasnya, sehingga itu, keadaan yang menyokong pulangan pasaran saham yang positif termasuklah kecairan yang kekal mencukupi manakala nilai yang muncul berikutan penurunan mendadak pasaran setakat ini dan prestasi serantau kurang memberangsangkan.
"Disebabkan semua kebimbangan termasuk kejadian banjir baru-baru ini, pendapatan pada suku keempat ini akan menjadi yang terendah tahun ini di sebalik daya tahan harga komoditi dan pembukaan semula ekonomi (terganggu seketika akibat banjir) dan data petunjuk ekonomi yang dikeluarkan baru-baru ini.
"Bagaimanapun, ia kekurangan pemangkin dan pilihan raya yang belum berlaku akan mengheret turun pasaran, justeru, pulangan adalah tidak secara meluas," katanya dalam laporan berkenaan.
Menurut Huat Soon, terdapat beberapa petanda menunjukkan kemungkinan PRU-15 sebelum tarikh akhir Julai 2023, termasuk kemenangan besar Barisan Nasional pada pilihan raya negeri Melaka pada November, diikuti kemenangan meyakinkan oleh sekutu rapatnya, Gabungan Parti Sarawak, baru-baru ini.
Selain itu, data ekonomi suku keempat juga menyaksikan pemulihan semasa kekal kukuh ketika ini dan dijangka mencapai sasaran kerajaan sekitar 3 hingga 4%.
"Pada masa sama, pihak pembangkang juga semakin berpecah-belah selepas Gerakan Sheraton dan nampaknya tidak mungkin Pakatan Harapan, Bersatu dan Parti Pejuang untuk bersatu semula.
"Dengan wabak COVID-19 semakin reda, ini menunjukkan pakatan pemerintah mungkin akan mengadakan pilihan raya seawal suku kedua 2022," jelasnya.
Dengan menjangkakan dengan pilihan raya pada tahun hadapan, katanya, aktiviti pasaran saham akan melemah ekoran sikap berhati-hati terhadap hasil PRU-15 dan risiko dasar.
"Bagi kami, keadaan ini memberikan peluang untuk meningkatkan kedudukan dalam ekuiti, dan menjadi lebih menarik dengan berapa banyak pasaran telah jatuh secara mutlak dan berbanding dengan pasaran lain pada 2021," tambahnya.
Bagaimanapun, menurutnya, kecairan kekal mencukupi dan tiada pengetatan dijangka pada suku pertama 2022.
"Kami percaya, pengetatan mungkin akan berlaku selepas PRU-15. Apabila Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) dan keperluan rizab berkanun, kami menjangkakan turun naik pasaran meningkat apabila kecairan berkurangan.
"Tetapi, bank dijangka mendapat manfaat daripada pengembangan margin kadar faedah beserta kenaikan kadar faedah," jelasnya.
Secara keseluruhan, Kenanga Research mengunjurkan sasaran FBM KLCI pada akhir 2022 berlegar sekitar 1,654 mata.
Dalam kalangan sektor, firma itu meletakkan saranan 'overweight' bagi sektor berkaitan bahan binaan, perjudian, media, minyak dan gas, REIT, teknologi dan utiliti. - DagangNews.com