Peralihan kepada e-rokok, British American Tobacco berdepan cabaran tingkatkan pendapatan - HLIB | DagangNews Skip to main content

Peralihan kepada e-rokok, British American Tobacco berdepan cabaran tingkatkan pendapatan - HLIB

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 7 Feb - Pendapatan British American Tobacco (M) Bhd (BAT) dijangka kekal mencabar berikutan saingan daripada rokok elektronik (e-rokok) atau vape di samping kekurangan aliran pendapatan yang kukuh daripada segmen baharu.

 

Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB), walau pun terdapat penurunan 1% dalam pasaran rokok haram, namun jumlah jualan rokok tetap menyusut kerana peralihan kepada rokok elektronik.

 

Katanya, trend ini dijangka berterusan yang berpotensi mengehadkan lantunan semula jualan rokok jika bahagian pasaran haram yang kini pada 55.6%, mendapat semula daya tarikan.

 

"Peluasan pasaran vape yang menggantikan bahagian pasaran rokok tradisional telah membawa kepada jualan lebih luas dalam kalangan pelbagai pemilik jenama vape, sekali gus memberi tekanan kepada prestasi jualan BAT. 

 

"Memandangkan kekurangan aliran pendapatan yang kukuh daripada segmen baharu untuk diisi kekosongan yang ditinggalkan oleh segmen rokok, kami berpendapat bahawa prospek pendapatan BAT kekal mencabar," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Sehubungan itu, HLIB mengekalkan saranan 'pegang' kepada BAT Malaysia dengan harga sasaran (TP) kekal pada RM9.22 sesaham.

 

Firma pnyelidikan itu berkata, pasaran vape sangat luas dengan pelbagai jenama boleh memasuki pasaran dan dijual di kedai serbaneka dan di mana sahaja.

 

"Ini tidak seperti pasaran rokok tradisional — terhad kepada BAT Malaysia, JT International Bhd, dan Philip Morris (Malaysia) Bhd," ujarnya.

 

rokok
Jumlah pengguna rokok semakin kecil akibat saingan daripada vape di samping isu rokok haram yang masih berleluasa.

 

Katanya, Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 diluluskan dengan menggugurkan peruntukan berkaitan generasi penamat (GEG) iaitu larangan penjualan produk tembakau dan rokok serta larangan merokok bagi orang yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya telah sedikit sebanyak mengurangkan risiko jangka panjang pangkalan pelanggan yang semakin mengecil.

 

"Namun BAT Malaysia tetap terus menghadapi cabaran daripada peningkatan populariti rokok elektronik yang boleh menjejaskan jualan rokok," ujarnya.

 

Menurut HLIB, BAT semalam mengumumkan mencatatkan keuntungan bersih teras suku keempat 2023 sebanyak RM45.5 juta yang menjadikan jumlah FY23 kepada RM193.1 juta.

 

Keputusan itu adalah dalam jangkaan bank tetapi di bawah konsensus, masing-masing menyumbang 95 peratus dan 93 peratus daripada ramalan setahun penuh. - DagangNews.com