Perang melawan COVID-19, negara belum rebah - Tengku Zafrul  | DagangNews Skip to main content

Perang melawan COVID-19, negara belum rebah - Tengku Zafrul 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Julai -  Meskipun negara telah melalui badai tahun lalu dengan selamat, walau terpukul dan tercalar tetapi belum rebah dan jauh sekali dari kalah, tegas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. 

 

Malah beliau berkata, kesejahteraan ekonomi Malaysia adalah penting dalam peperangan mengatasi COVID-19 meskipun kegawatan ekonomi global tahun lalu dikatakan adalah yang paling teruk sejak Perang Dunia ke-2.

 

Ini kerana katanya, tanpa ketahanan ekonomi, negara tidak akan mampu menjana kekuatan dana dan sumber untuk terus melawan pandemik ini.

 

"Banyak negara merudum jatuh pasaran dan kewangannya. Syukur, negara telah melalui badai tahun lalu dengan selamat.

 

"Kerajaan telahpun bersiap siaga dan kini giat menggerakkan strategi negara untuk melangkah ke hadapan," katanya ketika memberi penerangan pada Mesyuarat Khas Parlimen Penggal Ke-14 hari keempat hari ini.

 

Beliau berkata, kerajaan berpegang kepada 4 elemen utama dalam menangani krisis ini iaitu pertama, melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) sebagai usaha mengurangkan penularan wabak.

 

Kedua pula memperkasa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi membina ketahanan diri. 

 

"Untuk yang ketiga, kita memperkenalkan Pakej-pakej Bantuan dan Rangsangan Ekonomi untuk memastikan kehidupan rakyat terpelihara dan ekonomi pulih semula.

 

“Keempat, memperkenalkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa daripada krisis COVID-19,” jelasnya.

 

Menurut Tengku Zafrul, penguatkuasaan PKP, program imunisasi dan pakej bantuan ini saling melengkapi antara satu sama lain. 

 

"Saya ingin tegaskan vaksinasi adalah kunci utama kejayaan kepada pemulihan negara," katanya. 

 

Dari segi pakej bantuan pula, beliau berkata, sehingga kini, kerajaan telah mengumumkan 8 pakej bantuan dan rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion sejak wabak COVID-19 melanda negara. 

 

Pada 2020 sahaja, katanya, pakej yang dilaksanakan bernilai RM305 bilion atau 22.7% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

 

"Ini merupakan antara kadar terbesar berbanding pakej-pakej rangsangan negara lain seperti Indonesia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat," jelas beliau. - DagangNews.com