Perbelanjaan iklan 2024 diunjur turun, tumpuan terarah kepada media digital - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Perbelanjaan iklan 2024 diunjur turun, tumpuan terarah kepada media digital - Kenanga Research

Adex 2023 bagi segmen digital meningkat dengan Youtube antara tumpuan utama pengiklan. Gambar Norwood-Themes
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 19 Jan - Kenanga Research mengunjurkan perbelanjaan periklanan (adex) untuk tahun 2024 terus perlahan berikutan tidak banyak penganjuran acara besar pada tahun ini.

 

Menurut firma itu, pelaksanaan beberapa cukai baru seperti cukai barangan bernilai tinggi serta kadar cukai jualan dan perkidmatan (SST) yang lebih tinggi juga memberi tekanan kepada perbelanjaan pengguna.

 

Kata beliau, pihaknya menjangkakan penguncupan sebanyak 0.3 peratus kepada perbalanjaan pengiklanan secara keseluruhan bagi tahun 2024 berbanding tahun lalu.

 

"Sebagai perbandingan, tahun kewangan 2023 menyaksikan adanya pilihan raya negeri dan juga penganjuran acara sukan besar iaitu Sukan SEA dan Sukan Asia," katanya.

 

Kata firma tersebut, adex pada tahun 2023 berjumlah RM6.56 bilion iaitu peningkatan 1.7 peratus secara perbandingan tahun ke tahun.

 

Katanya, sedangkan adex 2023 sebelum ini diunjurkan menguncup sedikit iaitu 0.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

 

"Perbezaan ini didorong oleh segmen digital yang mencatatkan lonjakan disebabkan oleh peningkatan di youtube.  Adex di laman perkongsian video itu melonjak 30 peratus untuk perbandingan suku ke suku.

 

"Berikutan itu, pertumbuhan adex digital pada 2023 melonjak 13.3 peratus berbanding 2022, melepasi unjuran kami yang menjangkakan peningkatan sederhana sebanyak 5 peratus," jelasnya.

 

Kata firma itu, adex kesuluruhan bukan segmen digital menguncup 1.2 peratus pada tahun lalu dengan segmen akhbar turun sebanyak 17 peratus berbanding 2022.

 

"Lebih memburukkan situasi apabila segmen radio juga mencatatkan penurunan adex sebanyak 5 peratus pada 2023," kata firma itu.

 

Menurut Kenanga, media tradisional terus berdepan cabaran besar dari segi kos operasi mahu pun cabaran dari mediadigital termasuklah platform penstriman langsung dan pencipata kandungan digital.

 

Sedangkan, laman web akhbar dan majalah tidak dapat menangkap bahagian pasaran yang hilang seperti yang digambarkan oleh bahagian adex digital.

 

"Kami percaya bahagian besar dari perbelanjaan adex akan pergi ke media baru termasuk youtube, aplikasi, laman web dan media sosial," katanya. 

 

Kenanga juga mengekalkan penarafan 'underweight' untuk sektor media dengan media tradisional dijangka terus berdepan pelbagai cabaran, kecuali The Star yang dijangka mampu mencatat prestasi lebih baik antaranya disebabkan pelan transformasi 5 tahun dan usaha untuk beralih kepada digital.- DagangNews.com