Perbelanjaan modal Digi dijangka meningkat untuk peralihan 5G - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Perbelanjaan modal Digi dijangka meningkat untuk peralihan 5G - Penganalisis

Gambar SoyaCincau

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 19 Julai - Syarikat telekomunikasi, DiGi.com Berhad berpotensi meningkatkan perbelanjaan modal (capex) kumpulan pada masa hadapan seiring peralihan negara ke arah teknologi mudah alih generasi kelima (5G). 

 

Ini antaranya diperuntukkan untuk penambahbaikan kapasiti rangkaian, pelancaran tapak baharu dan program penamatan teknologi 3G, menurut MIDF Research. 

 

“Capex Digi pada separuh pertama tahun kewangan 2021 (1HFY21) dan suku kedua FY21 (2QFY21) masing-masing pada kadar RM353.0 juta dan RM196.0 juta, menunjukkan penurunan 3.0% dan 12.9% tahun ke tahun. 

 

“Secara keseluruhannya, ini menunjukkan nisbah capex kepada hasil perkhidmatan sebanyak 12.1% berbanding 15.5% pada 2QFY20,” jelas firma penyelidikan itu. 

 

Dalam nota kajian TA Securities pula, penganalisisnya, Wilson Loo mendedahkan bahawa peruntukan capex Digi pada FY21 dikekalkan antara 14% hingga 15% daripada hasil kumpulan. 

 

Jelas Loo, Digi dijangka menyaksikan perbelanjaan lebih tinggi pada 2HFY21 berdasarkan jumlah capex yang telah digunakan pada 1HFY21, iaitu 11.1% daripada hasilnya.

 

Ini terutamanya diperuntukkan untuk menyokong inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela), tambah Loo.

 

MIDF dan TA Securities, masing-masing mengekalkan saranan ‘neutral’ dan ‘pegang’ saham Digi, dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM3.84 dan RM4.50 sesaham. 

 

Baca : Kos susut nilai dan pelunasan lebih tinggi, untung bersih Q2 Digi jatuh 3%

 

MIDF tidak membuat sebarang perubahan kepada unjuran perolehan Digi pada FY21 hingga FY23, sementara TA Securities, sebaliknya menyemak semula ramalan perolehan kumpulan sebanyak 1.0% secara margin, setelah mengambil kira jualan peranti yang lebih tinggi seiring program Jaringan Prihatin.

 

“Berkenaan dengan perkembangan penggabungan Celcom dan Digi yang diusulkan, tidak ada perubahan daripada panduan sebelum ini. Cadangan itu tetap tertakluk kepada penerimaan peraturan dan kelulusan pemegang saham, serta terma dan syarat yang dijangka selesai pada 2Q22,” jelas Loo lanjut. 

 

Senada itu, Public Investment Bank Research (PublicInvest) percaya sinergi kedua-dua syarikat telekomunikasi itu dapat dihasilkan melalui penjimatan di seluruh rangkaian, teknologi maklumat (IT), pemerolehan dan operasi walaupun mungkin dihadkan oleh komitmen untuk tidak memberhentikan pekerja secara paksa bagi menjaga kebajikan mereka. 

 

PublicInvest kekal ‘neutral’ terhadap saham Digi dengan TP dikurangkan kepada RM4.30. - DagangNews.com