Perdagangan borong dan runcit Malaysia catat peningkatan 6.2% kepada RM142.6 bilion pada November 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Perdagangan borong dan runcit Malaysia catat peningkatan 6.2% kepada RM142.6 bilion pada November 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Jan - Perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan berjumlah RM142.6 bilion, meningkat 6.2% tahun ke tahun pada November 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Menurut DOSM, bagi perbandingan bulanan, nilai jualan kembali positif dengan peningkatan marginal 0.2% berbanding Oktober 2023.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan sebanyak 6.2% tahun ke tahun bagi perdagangan borong dan runcit pada November 2023 dipacu subsektor perdagangan borong yang meningkat 6.2% atau RM3.7 bilion kepada RM63.2 bilion. 

 

Katanya, perdagangan runcit juga berkembang dengan mencatatkan 4.4% atau RM2.6 bilion kepada RM61.3 bilion, diikuti kenderaan bermotor dengan pertumbuhan dua digit 12.7% atau RM2 bilion untuk berada pada RM18.1 bilion.

 

"Bagi perbandingan bulanan, peningkatan marginal 0.2% berbanding bulan sebelumnya adalah disumbangkan perdagangan runcit yang naik 1.2%. Bagaimanapun, subsektor kenderaan bermotor dan perdagangan borong masing-masing merekodkan pertumbuhan negatif iaitu -1.6% dan -0.2%," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Melihat kepada prestasi mengikut subsektor, Mohd Uzir memaklumkan, pertumbuhan 6.2 peratus tahun ke tahun bagi perdagangan borong didorong lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat RM2.1 bilion atau 9.3% kepada RM24.2 bilion. 

 

Katanya, ia diikuti jualan borong barangan isi rumah (5.2%), jual borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (9.5%), jualan borong makanan, minuman dan tembakau (2.3%), jualan borong jentera, peralatan dan bekalan (2.6%), perdagangan borong tanpa pengkhususan (3.3%) dan jual borong berdasarkan kontrak atau yuran (4.1%). 

 

 

DOSM

 

 

"Bagaimanapun, bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong menyusut -0.2%, terutamanya disebabkan lain-lain pengkhususan jualan borong (-1.1%), jualan borong barangan Isi rumah (-1.5%) dan jual borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (-1.1%)," katanya.

 

Mengulas lanjut mengenai subsektor perdagangan runcit, Mohd Uzir berkata, kenaikan 4.4% tahun ke tahun pada bulan ini disokong jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang tumbuh 6.5% atau RM1.4 bilion kepada RM23.4 bilion.


 
Katanya, kumpulan lain dalam subsektor ini turut merekodkan pertumbuhan positif iaitu jualan runcit di kedai pengkhususan (3.7%), jualan runcit makanan, minuman dan rembakau (10.3%), jualan runcit barangan isi rumah (3.7%), jualan runcit bahan api kenderaan (2.9%), jualan runcit barangan kesenian dan rekreasi (1.6%), jualan runcit di gerai dan pasar (5.8%) dan jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar (0.7%). 

 

"Bagi perbandingan bulanan, jualan subsektor ini kembali menunjukkan peningkatan dengan catatan 1.2%, disokong jualan runcit di kedai bukan pengkhususan (2%), jualan runcit di kedai pengkhususan (1.9%), jualan runcit barangan isi rumah (1%) dan jualan runcit makanan, minuman dan tembakau (1.4%).

 

Beliau berkata, pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 12.7% bagi subsektor kenderaan bermotor pada bulan ini dipacu jualan kenderaan bermotor yang melonjak 13.5% atau RM1.2 bilion kepada RM10 bilion. 

 

"Ini diikuti jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor (14.5%) dan penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (16.3%). Sebaliknya, bagi perbandingan bulanan, subsektor ini merosot -1.6%, disebabkan jualan kenderaan bermotor (-2.8%) dan jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal (-3.2%)," katanya.

 

Katanya, bagi indeks jualan runcit melalui internet, indeks ini jatuh -1% tahun ke tahun pada November 2023 berbanding -0.3% pada Oktober 2023. Bagi nilai pelarasan musim, indeks ini merosot -4.4% berbanding bulan sebelum. 

 

"Beralih kepada indeks volum, perdagangan borong dan runcit pada November2023 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 4.7%," katanya.

 

Tambahnya, pengembangan ini disumbangkan semua subsektor iaitu kenderaan bermotor (10.5%), perdagangan borong (5.8%) dan perdagangan runcit (2.9%). Bagi indeks volum pelarasan musim, ia kembali positif dengan 0.7% bulan ke bulan. - DagangNews.com