Perdagangan borong dan runcit Malaysia catat RM1.7 trilion jualan tahunan pada 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Perdagangan borong dan runcit Malaysia catat RM1.7 trilion jualan tahunan pada 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Feb - Perdagangan Borong dan Runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan bulanan tertinggi berjumlah RM143.9 bilion pada Disember, dengan suku keempat 2023 mencatatkan RM428.8 bilion dan bagi keseluruhan 2023, jumlah jualan mencapai RM1.7 trilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan sebanyak 4.8% tahun ke tahun bagi perdagangan borong dan runcit pada Disember 2023 dipacu oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat 5% atau RM3 bilion kepada RM62.4 bilion. 

 

Beliau berkata, perdagangan borong juga berkembang dengan mencatatkan 4.4% atau RM2.6 bilion kepada RM62.9 bilion, diikuti kenderaan bermotor dengan pertumbuhan 5.9% atau RM1 bilion untuk berada pada RM18.6 bilion.

 

Katanya, bagi perbandingan bulanan, peningkatan 1% berbanding bulan sebelumnya adalah disumbangkan oleh perdagangan runcit yang naik 1.8%. 

 

"Ini diikuti oleh subsektor kenderaan bermotor yang tumbuh 2.7%. Bagaimanapun, subsektor perdagangan borong merekodkan pertumbuhan negatif iaitu -0.4% pada bulan ini.

 

"Melihat kepada prestasi mengikut subsektor, pertumbuhan 5% tahun ke tahun bagi perdagangan runcit disumbangkan oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang tumbuh 6.3% atau RM1.4 bilion kepada RM23.8 bilion," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Menurut Mohd Uzir, kumpulan lain dalam subsektor itu turut merekodkan pertumbuhan positif iaitu jualan runcit di kedai pengkhususan (5.8%), jualan runcit barangan isi rumah (5.9%), jualan runcit makanan, minuman dan tembakau (9.9%), jualan runcit bahan api kenderaan (2.4%), jualan runcit barangan kesenian dan rekreasi (2.5%), jualan runcit di gerai dan pasar (6.6%) serta jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar (1.1%). 

 

 

dosm

 

 

Bagi perbandingan bulanan katanya, jualan subsektor itu meningkat 1.8%, disokong jualan runcit di kedai bukan pengkhususan (1.8%), jualan runcit di kedai pengkhususan (3.2%), jualan runcit barangan Isi rumah (1.3%) dan jualan runcit makanan, minuman dan tembakau (1.9%).

 

Beliau berkata, kenaikan 4.4% tahun ke tahun pada bulan ini disokong oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat RM1.4 bilion atau 6.2% kepada RM23.9 bilion. 

 

Katanya, ia diikuti oleh jualan borong barangan isi rumah (5.3%), jual borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (5.4%), jualan borong makanan, minuman dan tembakau (1.4%), jualan borong jentera, peralatan dan bekalan (1.1%), perdagangan borong tanpa pengkhususan (2.1%) dan jual borong berdasarkan kontrak atau yuran (0.4%). 

 

"Bagaimanapun, bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong terus merekodkan pertumbuhan negatif iaitu -0.4%, terutamanya disebabkan oleh lain-lain pengkhususan jualan borong (-1.2%), jualan borong barangan isi rumah (-1.7%) dan perdagangan borong tanpa pengkhususan (-1.3%)," katanya.

 

Mohd Uzir berkata, pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 5.9% bagi subsektor kenderaan bermotor pada Disember dipacu oleh jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor yang melonjak 10.9% atau RM0.5 bilion untuk merekodkan RM4.7 bilion. 

 

Beliau berkata, ia diikuti oleh jualan kenderaan bermotor (4.4%) dan penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (12.3%). 

 

Bagi perbandingan bulanan katanya, subsektor itu berkembang 2.7%, disumbangkan oleh jualan kenderaan bermotor (4.7%), jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor (0.7%) dan penyelenggaraan serta pembaikan kenderaan bermotor (0.9%).

 

"Mengulas mengenai prestasi suku tahunan, peningkatan 5.8% pada suku keempat tahun ini bagi perdagangan borong dan runcit disokong oleh subsektor perdagangan borong yang meningkat RM9.8 bilion atau 5.4% kepada RM189.4 bilion. 

 

"Ini diikuti oleh perdagangan runcit yang berkembang 4.5% atau RM7.9 bilion untuk merekodkan RM184.4 bilion. Subsektor kenderaan bermotor juga naik dengan 12.3% atau RM6 bilion untuk mencapai RM55 bilion pada suku tahun ini. Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, sektor ini menokok 0.9%," katanya.

 

Mohd Uzir berkata, perdagangan borong dan runcit mengakhiri 2023 dengan peningkatan 7.7% dengan keseluruhan jualan berjumlah RM1.7 trilion, disokong oleh perdagangan runcit yang meningkat RM59.7 bilion atau 9% untuk berada pada RM720.8 bilion. 

 

"Ini diikuti oleh perdagangan borong yang berkembang dengan 5.2% kepada RM747.1 bilion. Subsektor kenderaan bermotor juga mencatatkan jualan lebih tinggi berbanding 2022, meningkat 12.3% kepada RM205.7 bilion," katanya.

 

Beliau berkata, bagi indeks jualan runcit melalui internet, indeks itu jatuh -0.4% tahun ke tahun pada Disember 2023 berbanding -1% pada November 2023. Bagi nilai pelarasan musim, indeks itu kembali positif dengan catatan 2.3% berbanding bulan sebelum.

 

Beralih kepada indeks volum katanya, perdagangan borong dan runcit pada Disember 2023 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 3.4%. 

 

Tambahnya, pengembangan itu disumbangkan oleh semua subsektor iaitu kenderaan bermotor (3.9%), perdagangan runcit (3.6%) dan perdagangan borong (3.4%). Bagi indeks volum pelarasan musim, ia jatuh -1.4% bulan ke bulan.  - DagangNews.com