Perdagangan Malaysia Julai 2024 cecah RM255.88 bilion, eksport naik 12.3% - MITI | DagangNews Skip to main content

Perdagangan Malaysia Julai 2024 cecah RM255.88 bilion, eksport naik 12.3% - MITI

Gambar hiasan Penang Port Sdn Bhd

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Perdagangan Malaysia pada Julai 2024 mencecah jumlah RM255.88 bilion, melonjak 18.3% tahun ke tahun (YoY) dan terpantas dalam tempoh 21 bulan, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

 

Menurut MITI, nilai itu tertinggi sejak Oktober 2022 dengan eksport meneruskan trajektori meningkat untuk bulan keempat berturut-turut, berkembang sebanyak 12.3% kepada RM131.15 bilion manakala import meningkat sebanyak 25.4% kepada RM124.73 bilion.

 

“Lebihan dagangan berjumlah RM6.42 bilion, menandakan lebihan bulan ke-51 berturut-turut sejak bulan Mei 2020,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

 

MITI berkata, semua sektor utama mencatat pertumbuhan eksport dua angka yang kukuh pada Julai 2024.

 

Eksport barangan perkilangan yang merangkumi 85.5% daripada jumlah eksport, melonjak sebanyak 10.6% kepada RM112.08 bilion.

 

"Pengembangan tahun kelima bulan berturut-turut ini disokong oleh peningkatan eksport jentera, peralatan dan alat ganti, produk petroleum, produk E&E serta perkilangan logam," jelasnya. 

 

Eksport ke rakan dagang utama iaitu ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah dan Taiwan mencatatkan pertumbuhan dua angka.

 

Berbanding Jun 2024, perdagangan, eksport dan import masing-masing meningkat sebanyak 7.6%, 4.1% dan 11.6%, katanya.

 

Sementara itu, eksport barangan pertanian meningkat 32.8% kepada RM10.07 bilion, disokong oleh permintaan lebih tinggi untuk minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit, mengakibatkan peningkatan volum dan harga eksport.

 

Eksport barangan perlombongan berkembang sebanyak 10.2%  tahun ke tahun kepada RM8.04 bilion, dipacu oleh eksport LNG yang kukuh dalam persekitaran volum eksport lebih tinggi.

 

MITI berkata, pertumbuhan eksport kebanyakannya didorong oleh peningkatan permintaan bagi minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit, jentera, peralatan dan alat ganti, produk petroleum, serta produk elektrik dan elektronik (E&E).

 

"Pada Julai 2024, perdagangan dengan ASEAN, membentuk 27.8% daripada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat 16.8% YoY kepada RM71.07 juta untuk pertumbuhan bulan kelima berturut-turut," jelasnya. - DagangNews.com