Perdagangan Malaysia susut 19.8% kepada RM213 bilion pada Ogos 2023 - MITI | DagangNews Skip to main content

Perdagangan Malaysia susut 19.8% kepada RM213 bilion pada Ogos 2023 - MITI

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 19 Sept - Jumlah perdagangan negara pada Ogos 2023 menyusut 19.8% kepada RM213.01 bilion berikutan permintaan global yang perlahan dan harga komoditi yang lebih rendah, demikian menurut Kementerian Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI).

 

Ia berkata, eksport menyusut 18.6% kepada RM115.16 bilion dan import menurun sebanyak 21.2% kepada RM97.85 bilion.

 

Katanya, prestasi itu seiring dengan rakan dagang utama Malaysia yang lain seperti Korea Selatan, China, Taiwan dan Indonesia yang masing-masing merekodkan pertumbuhan perdagangan negatif pada Ogos 2023 serta penyusutan dalam import global.

 

Namun, Malaysia mencatatkan lebihan dagangan yang ke-40 bulan berturut-turut pada Ogos 2023, meningkat 0.1% kepada RM17.31 bilion, kata MITI dalam satu kenyataan hari ini.

 

Berbanding Julai 2023, prestasi perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing menguncup sebanyak 1.5%, 1.4%, 1.6% dan 0.3%.

 

Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2023, perdagangan berkurangan sebanyak 8.1% kepada RM1.718 trilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

 

Eksport menguncup 7.6% kepada RM935.22 bilion, import menyusut 8.6% kepada RM782.29 bilion dan lebihan dagangan turun 2% kepada RM152.92 bilion.

 

Pada Ogos 2023, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 85.4% atau RM98.36 bilion daripada jumlah eksport menurun sebanyak 17.7% tahun ke tahun berikutan pengurangan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit.

 

Sementara itu, pertumbuhan eksport dicatatkan bagi barangan kertas dan palpa serta barangan makanan diproses.

 

Eksport hasil galian menyusut 23.1% tahun ke tahun kepada RM8.46 bilion disebabkan oleh pengurangan eksport gas asli cecair (LNG) dan petroleum mentah.

 

Eksport keluaran pertanian menyusut 27.1% kepada RM7.61 bilion berbanding Ogos 2022 disebabkan oleh eksport yang rendah bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit kesan daripada penurunan ketara harga eksport minyak sawit.

 

Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2023, eksport barangan perkilangan menguncup 5.9% kepada RM800.62 bilion berbanding tempoh yang sama 2022 berikutan pengurangan eksport barangan perkilangan berasaskan minyak sawit, barangan perkilangan logam dan keluaran getah.

 

Walau bagaimanapun, eksport yang kukuh bagi barangan kertas dan palpa, barangan makanan diproses serta barangan E&E telah mengimbangi kesan penurunan itu, lapor Berita Harian.

 

Eksport hasil galian turun sebanyak 9.1% kepada RM68.27 bilion berikutan eksport yang lebih rendah direkodkan bagi petroleum mentah, LNG serta petroleum kondensat dan minyak petroleum lain.

 

Eksport keluaran pertanian jatuh 25.8% kepada RM60.81 bilion, disebabkan oleh penurunan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit berikutan penyusutan harga eksport minyak sawit. - DagangNews.com