Perdana Menteri jamin komitmen kerajaan terhadap kebebasan media di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Perdana Menteri jamin komitmen kerajaan terhadap kebebasan media di Malaysia

Ismail Sabri menunjukkan Buku Mewah Malaysia di Ekspo 2020 Dubai, Memoir Suatu Kembara ketika pelancarannya pada Majlis Apresiasi Pavilion Malaysia Ekspo 2020 Dubai di sebuah hotel. Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba. - Gambar MOSTI

KUALA LUMPUR 15 Sept - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sekali lagi menegaskan komitmen dan jaminan kerajaan dalam kebebasan organisasi media di negara ini.

 

Perdana Menteri berkata, media diberi kebebasan sepenuhnya dalam laporan asalkan ia tepat dan bertanggungjawab.

 

"Campur tangan politik? Media mempunyai kebebasan sepenuhnya asalkan laporan itu tepat dan bertanggungjawab.

 

"Saya beri jaminan berhubung kebebasan akhbar," katanya kepada pemberita, di sini malam tadi. Terdahulu, Perdana Menteri menghadiri Majlis Apresiasi Pavilion Malaysia, di sini.

 

Sebelum ini, terdapat dakwaan daripada beberapa pihak termasuk segelintir tokoh wartawan mempertikaikan pelantikan Farrah Naz Karim sebagai Pengarang Kumpulan akhbar New Straits Times (NST) yang baharu dengan mendakwa ia dibuat atas campur tangan politik.

 

Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) turut membangkitkan kebimbangan mengenai laporan berita bahawa NST menggantikan pengarang kumpulan organisasi itu berikutan campur tangan sebuah parti politik.

 

Ketika ditanya mengenai perkara itu, Ismail Sabri bagaimana pun enggan mengulas lanjut.

 

"Saya pun belum baca berita lagi, nanti (sudah) tengok saya akan komen...saya tak nak komen benda saya tidak tahu.

 

"Tidak adil bagi saya komen perkara yang saya tidak ada maklumat penuh mengenainya," katanya. - DagangNews.com