Perincian Bajet 2022 akan dilaksanakan dengan berhemah demi kesejahteraan Keluarga Malaysia - PM | DagangNews Skip to main content

Perincian Bajet 2022 akan dilaksanakan dengan berhemah demi kesejahteraan Keluarga Malaysia - PM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Dis - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memberikan komitmen dalam melaksanakan segala perincian Bajet 2022 dengan penuh berhemah bagi memastikan kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia.

 

Beliau yang mewakili Kerajaan Persekutuan berjanji akan memanfaatkan mandat yang diberikan sebaik mungkin.

 

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, Bajet 2022 telah diluluskan dengan jayanya setelah mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen. 

 

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua Ahli Parlimen yang telah memberikan sokongan kepada undian Bajet 2022 ini, khususnya daripada pihak pembangkang," katanya menerusi laman Facebooknya.

 

Ismail Sabri juga percaya, kekuatan sesebuah pentadbiran itu turut terletak pada proses semak dan imbang yang cemerlang. 

 

Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) yang menyediakan peruntukan keseluruhan  berjumlah RM332.1 bilion, terbesar dalam sejarah belanjawan negara dengan matlamat memulihkan ekonomi kesan pandemik COVID-19.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata bajet bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera' berkenaan mendukung tiga paksi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan. - DagangNews.com