Perincian pembangunan MVV 2.0 melibatkan Matrix Concepts, NS Corporation masih belum diketahui - HLIB | DagangNews Skip to main content

Perincian pembangunan MVV 2.0 melibatkan Matrix Concepts, NS Corporation masih belum diketahui - HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 April - Matrix Concepts Holdings Berhad masih belum memperolehi tanah untuk tujuan Pembangunan Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0) walaupun sudah memeterai jalinan kerjasama dengan NS Corporation iaitu syarikat milik kerajaan Negeri Sembilan.

 

Hong Leong Investment Bank Research berkata, menerusi kerjasama itu, mereka merancang untuk membangunkan kawasan seluas 1,350 ekar namun lokasi sebenar masih belum berjaya didapatkan.

 

"Sehingga kini perincian mengenai kerjasama melibatkan Matrix Concept dan NS Corporation termasuk struktur kerjasama,pelan pembiayaan, pelan pelaksanaan, lokasi tanah yang tepat dan kos belum diketahui.

 

"Dipercayai MVV 2.0 merupakan wilayah ekonomi bersepadu melibatkan pembangunan Greater Kuala Lumpur meliputi kawasan seluas 153,400 hektar merangkumi daerah Seremban dan Port Dickson," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, sekiranya projek MVV 2.0 tidak dilaksanakan (berdasarkan polisi risiko), mereka percaya bahawa pembangunan kediaman di kawasan Gretaer Klang Valley masih mampu menampung limpahan daripada Lembah Klang seperti pembangunan di Sendayan.

 

Katanya, pembangunan itu berjaya menarik lebih 60% pembeli rumah dari Lembah Klang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

 

"Penambahbaikan infrastruktur seperti jalan raya dan keterhubungan ke pusat bandar serta trend kerja-dari-mana-mana semasa (yang membolehkan pekerja bekerja di kawasan terpencil jauh dari lokasi kerja) akan meningkatkan permintaan untuk pembangunan perumahan di kawasan Greater Klang Valley," katanya.

 

Bagaimanapun, firma itu positif dengan pembangunan itu kerana ia memberikan peluang perkembangan kepada kumpulan itu pada masa hadapan dan memberikan gambaran jelas terhadap pendapatan Matrix Concept untuk tempoh sembilan tahun.

 

"Pembangunan itu dijangka melibatkan kawasan kediaman terletak bergampiran Sendayan dan ia akan memberikan kelebihan kepada Matrix Concept kerana sudah biasa dengan kawasan serta peraturan di sana," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.54. - DagangNews.com