Perkembangan positif PowerSeraya, Wessex: Maybank IB naikkan unjuran keuntungan YTL Power | DagangNews Skip to main content

Perkembangan positif PowerSeraya, Wessex: Maybank IB naikkan unjuran keuntungan YTL Power

Wessex Water dijangka kembali mencatatkan keuntungan pada FY24. -Gambar YTL Power
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 17 Mei - PowerSeraya, anak syarikat YTL Power International Berhad dijangka mencapai kemuncak pendapatan pada tahun kewangan 2024 (FY24).

 

Maybank Investment Bank berkata, satu lagi subsidiari YTL Power, Wessex Wated Ltd pula mungkin kembali mencatat keuntungan lebih awal disebabkan oleh inflasi yang perlahan di United Kingdom (UK). 

 

Katanya, Indeks Harga Runcit (RPI) UK telah jatuh kepada 4.3% pada Mac 2024 yang mana inflasi memberi kesan kepada Wessex dari segi opex dan kewangan.

 

"Pada RPI di bawah 5%, kami menjangkakan Wessex akan kembali menguntungkan. Terdapat juga kemungkinan capex yang lebih tinggi dan pulangan modal dalam kitaran kawal selia baharu (2025-2029).

 

"Justeru, kami menaikkan unjuran keuntungan bersih FY24/25/26 masing-masing sebanyak 8%/20%/22% semasa kami menyemak semula andaian kami untuk Wessex dan PowerSeraya," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: YTL PowerSeraya peroleh tender bina loji janakuasa sedia hidrogen 600MW di Singapura

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, pasaran pusat data dan pengkomputeran AI YTL Power pula dalam aliran meyakinkan walaupun dijangka menghadapi cabaran awal dalam meraih hasil daripada pelaburan pada peringkat awal. 

 

"Jika difikirkan semula, kami terlalu awal dengan penurunan taraf kami. Kekalkan saranan Pegang dengan harga sasaran (TP) berasaskan SOP yang lebih tinggi sebanyak RM5.40 sesaham (+35%)," katanya.

 

Sementara itu, Maybank IB berkata, Fasa 1 pusat data YTL Power (72MW) dengan Shopee sebagai penyewa utama akan beroperasi pada 2H24. 

 

"Kami mengambil perhatian bahawa pusat data biasanya mengambil masa 2-3 tahun untuk pulang modal. 

 

"Pelan pemasangan YTLP untuk pengkomputeran AI bertenaga Nvidia terkini telah menimbulkan banyak tumpuan, tetapi kami tidak menolak kemungkinan cabaran menjana keuntungan di peringkat awal," jelasnya. - DagangNews.com