Perkhidmatan Citi Malaysia beroperasi seperti biasa | DagangNews Skip to main content

Perkhidmatan Citi Malaysia beroperasi seperti biasa

 

KUALA LUMPUR 21 April - Citi Malaysia mengesahkan bahawa operasi perniagaan pengguna dan pejabatnya berjalan seperti biasa untuk memberi perkhidmatan dan sokongan kepada pelanggan.

 

Pengumuman itu dibuat selepas Citigroup Inc mengambil langkah untuk menutup perniagaan perbankannya di Malaysia selain di beberapa buah negara lain.

 

Pengurus Perniagaan Pelanggan Citi Malaysia, Elaine Fan memberi jaminan kepada semua pemegang kad kredit dan akaun bank, pelanggan dalam pelaburan dan pinjaman bahawa semua produk dan perkhidmatan Citi sedia ada akan berterusan seperti biasa dan tidak akan ada perubahan dalam tahap perkhidmatan.

 

“Semua cawangan, ATM, pusat panggilan dan pejabat akan meneruskan operasi mereka seperti biasa.

 

“Pelanggan boleh terus melakukan transaksi atau pertanyaan perkhidmatan melalui Aplikasi Citi Mobile, Citibank Online dan CitiPhone. 

 

“Ini akan diteruskan sehingga kami memberitahu pelanggan tentang perubahan pada masa depan,” jelasnya dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

Pada minggu lalu, Citigroup dilaporkan akan menutup perniagaan runcit di Malaysia selain 12 pasaran lain di rantau Asia dan Eropah serta Timur Tengah dan Afrika. 

 

Langkah itu dikatakan sebahagian daripada kajian semula strategik di bawah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jane Fraser. 

 

Fraser menjelaskan kumpulan itu akan menggandakan keuntungan dengan menumpukan pelaburan dan sumber kepada perniagaan-perniagaan yang mempunyai potensi pertumbuhan dan skala besar. - DagangNews.com