KUALA LUMPUR 14 Sept - RHB Investment mengekalkan saranan ‘overweight’ ke atas sektor tenaga dengan menjangkakan permintaan elektrik kekal berdaya tahan pada separuh kedua tahun ini.
Dengan harga teras diunjur kembali normal pada suku-suku berikutnya, impak margin bahan api mungkin masih menjejaskan keuntungan pemain loji janakuasa arang batu, meskipun pada tahap yang sederhana.
“Kami kekal positif terhadap Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), memandangkan matlamat jelas dan keperluan pembiayaannya telah dibentangkan. Rangka kerja dan mekanisme konkrit selanjutnya dijangka diumumkan dalam beberapa bulan akan datang,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata dalam tempoh laporan baru-baru ini, lapan syarikat di bawah liputannya mengeluarkan keputusan suku kedua 2023 (2Q23), di mana dua daripadanya dalam jangkaan, sementara empat lagi mengecewakan iaitu Malakoff Corp Bhd, Taliworks Corp Bhd, Ranhill Utilities Bhd dan Tenaga Nasional Bhd (TNB).
"Bagi Ranhill, sisihan negatif adalah disebabkan oleh segmen air lebih lemah daripada jangkaan, manakala Taliworks kecewa dengan kos yang lebih tinggi daripada jangkaan dan kemajuan perlahan projek Sungai Rasau.
“Sebaliknya, kedua-dua TNB dan Malakoff terlepas jangkaan, dengan kerugian tidak dijangka yang berpunca daripada margin bahan api negatif yang besar. Ini, seterusnya, adalah hasil daripada turun naik harga arang batu berkaitan.
“YTL Power terus menjadi satu-satunya yang berprestasi tinggi dengan keputusan tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) kukuh, diterajui sumbangan lebih kukuh daripada cabang penjanaan kuasanya,” ulasnya.
Mengulas mengenai prospek sektor, RHB Investment berkata permintaan elektrik meningkat seiring dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2Q23, meningkat 3.3% tahun ke tahun, dengan permintaan kemuncak baharu sebanyak 19,716MW dicatatkan pada Mei.
“Kami melihat peningkatan campuran penjanaan arang batu kepada 60.1% (1Q23: 53.7%) dengan mengorbankan campuran gas yang, seterusnya, menurun kepada 34% (1Q23: 39.5%).
“Jumlah kapasiti tenaga boleh diperbaharui (RE) TNB berada pada 4GW setakat Jun, dan ia menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti RE tempatan sebanyak 1.2GW lagi menjelang 2025. TNB juga sedang meninjau untuk mendapatkan lima pusat data dengan jumlah penggunaan kira-kira 2GW tahun ini,” katanya.
Memandangkan gas terus menjadi sumber dominan bahan api untuk kuasa beban asas, RHB Investment berpendapat bahawa pengeluar kuasa bebas sedia ada, iaitu TNB dan Malakoff, mungkin akan menyaksikan pengembangan loji yang menggunakan gas pada masa hadapan, berikutan pemberhentian loji arang batu mereka.
"Projek berintensifkan perbelanjaan modal – penangkapan, penggunaan dan penyimpanan carbon (CCUS) dan hidrogen – berkemungkinan diterajui oleh syarikat besar seperti Petronas dan TNB, manakala sistem penyimpanan tenaga bateri atau pasaran BESS masih belum diterokai," jelasnya. - DagangNews.com