KUALA LUMPUR 21 Feb - Kenanga Research menjangkakan prospek positif bagi Thong Guan Industries Bhd disokong oleh permintaan kukuh terhadap produk pembungkusan industrinya.
Katanya, produk tersebut diguna secara meluas dalam sektor makanan dan minuman (F&B) dan barangan pengguna bergerak pantas (FMCG).
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu menikmati permintaan yang baik untuk produk pembungkusan industrinya termasuk filem laminasi, beg minyak, beg gula, filem regangan dan filem pembungkusan mengecut.
“Kami percaya permintaan berdaya tahan untuk produk ini boleh dikaitkan dengan penggunaan meluasnya dalam sektor F&B dan FMCG, yang kurang terjejas oleh kemelesetan ekonomi global.
"Kumpulan itu mencatatkan peningkatan tempahan yang ketara, terutamanya untuk filem pembungkusan mengecut daripada kilang minuman keras dan pengeluar air mineral, sekali gus meluaskan bahagian pasaran Thong Guan dalam sub-segmen ini," katanya dalam satu nota kajian.
Kenanga Research itu berkata, produk pembungkusan industri menyumbang 16% daripada jumlah hasilnya pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) dan sepatutnya meningkat kepada sekitar 17% hingga 18% pada FY23.
Katanya, kumpulan itu memperluaskan kehadirannya di Amerika Syarikat (AS) dengan menubuhkan gudang baharu dan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di negara itu.
“Gudang ini akan memendekkan masa respons dan penghantaran, yang akan membantu pengedarnya beroperasi dengan lebih cekap dan meletakkannya lebih dalam ke pasaran AS.
“Kami percaya Thong Guan berada di landasan yang betul untuk memenuhi sasarannya untuk meningkatkan jumlah eksportnya tiga kali ganda ke AS dalam beberapa tahun akan datang. Pada FY22, Amerika Utara menyumbang 9% daripada jumlah jualan kumpulan," katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, Thong Guan merancang untuk menubuhkan pusat R&D global Newton keempat di Amerika Syarikat, sebagai tambahan kepada tiga yang sedia ada di Malaysia, Eropah dan China.
“Kemudahan R&D baharu itu akan memberi tumpuan kepada menganalisis dan mengoptimumkan rumusan untuk pelanggannya, terutamanya berkaitan kestabilan palet untuk filem regangan. Ia dijangka siap pada akhir FY24 atau FY25," tambahnya.
Kenanga Research mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM2.86 sesaham. - DagangNews.com