PERNAMA bina kompleks perniagaan bernilai RM75 juta, tawar peluang niaga pada veteran ATM | DagangNews Skip to main content

PERNAMA bina kompleks perniagaan bernilai RM75 juta, tawar peluang niaga pada veteran ATM

Adly (tiga dari kiri) bersama Abdul Aziz (tiga dari kanan) dan Raja Affendi (dua dari kanan) selepas merasmikan majlis pecah tanah projek pembinaan Tepian Tekpi PERNAMA di Kuala Lumpur.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 7 Julai - Sebuah kompleks perniagaan baharu lengkap dengan pelbagai fasiliti akan dibina Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) di Jalan Padang Tembak di sini dengan kos RM75 juta.

 

PERNAMA merupakan sebuah entiti perniagaan milik penuh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang ditubuhkan untuk memberi khidmat kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keluarga.

 

Projek Tepian Tekpi PERNAMA ini dibina di kawasan seluas 2.49 ekar milik Kementerian Pertahanan secara pajakan selama 30 tahun dengan kadar RM436,000 setahun.

 

Kompleks ini meliputi pasaraya, restoran pandu lalu, anjung selera dan ruang perniagaan yang bakal memberi kemudahan kepada warga tentera serta keluarga di Lembah Klang.

 

Turut dibina ialah dewan serbaguna, 84 bilik hotel, dan ruang pejabat.

 

Projek Tepian Tekpi PERNAMA dibina di kawasan seluas 2.49 ekar milik Kementerian Pertahanan.
Projek Tepian Tekpi PERNAMA dibina di kawasan seluas 2.49 ekar milik Kementerian Pertahanan.

 

Pembangunan tersebut bakal dimulakan pada penghujung tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

 

Berdasarkan lokasinya yang strategik serta berhampiran dengan Wisma Pertahanan, kompleks ini bakal menjadi sebahagian daripada mercu tanda dan kebanggaan warga ATM. 

 

Sebagai sebuah pusat komersial, ia juga turut memberi kemudahan kepada penduduk sekitar.

 

Tepian Tekpi turut memberi peluang kepada veteran ATM untuk mengusahakan perniagaan dengan penawaran sewaan ruang niaga pada harga berpatutan.

 

Dengan adanya pasaraya melalui PERNAMA ini, lebih banyak produk-produk hasil keluaran veteran ATM dapat dipasarkan, sekali gus meningkatkan ekonomi mereka.

 

Kompleks perniagaan Tepian Tekpi PERNAMA akan menjadi mercu tanda kebanggaan warga ATM.
Kompleks perniagaan Tepian Tekpi PERNAMA akan menjadi mercu tanda kebanggaan warga ATM.

 

Terdahulu, majlis pecah tanah projek pembinaan Tepian Tekpi PERNAMA ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.

 

Turut hadir Pengerusi PERNAMA, Jeneral (B) Tan Sri Abdul Aziz Zainal dan Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Raja Affendi Raja Mohamad. - DagangNews.com