KUALA LUMPUR 13 April - Perodua Aruz mencatat pencapaian membanggakan apabila pertama kali memasuki pasaran eksport di Singapura.
Ia dijual pada harga ketika pelancaran iaitu SGD92,999 (RM286,409) termasuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan Certificate of Entitlement (COE).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, Aruz merupakan kenderaan tujuh-tempat duduk pertama yang ditawarkan oleh Perodua di Singapura.
Katanya, dengan jualan hampir 58,000 unit di Malaysia sejak pelancarannya pada 2019, Perodua Aruz merupakan SUV terlaris di Malaysia pada 2019 dan 2020.
“Kami berbesar hati dapat berkongsi kelebihan Aruz, antaranya ruang yang luas, tahap keselamatan yang tinggi, serba boleh, praktikal dan cekap bahan api, dengan jiran selatan kita," katanya dalam kenyataan hari ini.
Enjin empat-silinder 1.5 liter Dual VVT-i dengan blok aluminium bergabung dengan transmisi automatik kawalan elektronik dan Eco Idle untuk memberi kecekapan bahan api sehingga 15.6 km/l.
Barisan tempat duduk kedua yang dibahagi 60:40 serta barisan ketiga yang dibahagi 50:50 boleh dilaras, dilipat dan digolek untuk menghasilkan pelbagai konfigurasi.
Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), ISOFIX dan enam beg udara menyumbang kepada penarafan keselamatan 5-bintang ASEAN NCAP.
Kelengkapan lain termasuk lampu hadapan LED, rim aloi dwi-tona 17-inci, kemasukan dan penghidup enjin tanpa kunci, serta sistem infotainment skrin sesentuh dengan paparan kamera undur.
Perodua Aruz dijual oleh Perocom Auto Pte Ltd di pusat jualan dan servisnya di Ubi.
Pengedar sah Perodua yang tunggal di Singapura sejak 1997, Perocom Auto telah menjual Kancil, Kembara, Kelisa, Myvi generasi pertama dan ketiga, Viva, Axia dan Bezza di sana.
Selain Singapura, Perodua juga mengeksport ke Brunei, Sri Lanka, Mauritius, Seychelles, Fiji dan Indonesia (di mana Myvi dijual sebagai Daihatsu Sirion). - DagangNews.com