KUALA LUMPUR 19 Sept - Perolehan kapal misi pesisir (LMS) Batch 2 untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah menarik minat sembilan syarikat untuk membida kontrak tersebut dengan rekaan kapal masing-masing.
Kesemua syarikat ini mengemukakan tawaran semasa tender terbuka untuk pemilihan jawatankuasa penilaian TLDM dan Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Kajian pasaran juga sudah dilaksanakan terlebih dulu membabitkan semua syarikat yang sudah mengemukakan tawaran.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata, susulan itu nanti perolehan tersebut akan dilaksanakan melalui pendekatan rundingan antara kerajaan (G2G).
Menurut beliau, beberapa syarat terpilih juga akan dimasukkan ke dalam tender itu nanti untuk diputuskan.
"Apabila pihak TLDM sudah menilai dan tahu apa model yang ingin dibeli, spesifikasi dan daya kombatan yang diperlukan, maka rundingan G2G akan dimulakan.
"Kita akan membuat memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan berkenaan, daripada mana syarikat yang dipilih oleh kerajaan negara terbabit, jadi kita akan buat kontrak untuk pembinaan LMS," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat semalam.
Perolehan LMS Batch 2 TLDM telah diberi lampu hijau apabila peruntukan bagi projek tersebut telah pun diperoleh.
Jika semuanya berjalan lancar, TLDM menjangkakan kontrak perolehan tersebut akan dimeterai selewat-lewatnya pada tahun ini.
LMS Batch 2 akan menjadi perolehan kedua terbesar TLDM selepas projek kapal tempur pesisir (LCS) berdasarkan nilai keseluruhan sebanyak RM6 bilion dengan lapan buah kapal.
Perolehan tiga kapal pertama ini dijangka memerlukan peruntukan sebanyak RM2.4 bilion.
Sebelum ini, kontrak perolehan empat LMS dimeterai secara rundingan terus antara kerajaan dengan syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) pada 23 Mac 2017.
BNSSB dengan kerjasama China Shipbuilding Offshore and International Corporation melaksanakan pembinaan empat LMS di Wuhan Shipyard, China.
Bagaimana pun, LMS Batch 2 ini mempunyai konfigurasi berbeza serta keupayaan yang berganda berbanding LMS pertama.
Umum sebelum ini menjangkakan kontrak LMS Batch 2 dimeterai semasa Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi pada Mei lalu dengan Turkiye dilihat sebagai calon terbaik.
Tiga syarikat dari Turkiye bersaing dalam projek LMS Batch 2 TLDM iaitu STM, Dearsan Shipyard dan TAIS Shipyard.
Justeru, penangguhan ini menunjukkan MINDEF masih berkira-kira untuk mencari calon yang sesuai atau ingin melihat tawaran yang lebih baik.
Ini juga berdasarkan beberapa syarikat antarabangsa turut tampil menawarkan kapal-kapal mereka untuk memenuhi keperluan TLDM.
Antaranya Hyundai Heavy Industries (HHI) dari Korea Selatan dengan model HDC-2000 Littoral Mission Ship.
Gergasi pertahanan Emiriah Arab Bersatu (UAE), EDGE pula menampilkan rekabentuk 92M Corvette manakala syarikat Belanda, Damen menawarkan LMS yang diasaskan daripada rekabentuk korvet Sigma 9113.
Tidak ketinggalan syarikat pembuat kapal terkenal Itali, Fincantieri dengan menampilkan rekabentuk daripada keluarga FCX untuk program LMS Batch 2 TLDM.
Fincianteri juga tidak asing pada TLDM yang ketika ini mengoperasikan empat buah korvet kelas Laksamana buatan syarikat itu sejak 26 tahun lalu. - DagangNews.com