Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 30 Jun - Tiga syarikat pengeluar sarung tangan utama di Malaysia iaitu Kossan Rubber Industries Berhad, Supermax Corporation Berhad dan Hartalega Holdings Berhad dijangka mencatatkan perolehan sesaham (EPS) yang lebih rendah untuk tempoh beberapa tahun kewangan akan datang.
Berdasarkan unjuran yang dibuat penganalisis di CGS-CIMB Research, Walter Aw menerusi tiga nota kajian berbeza, beliau menyemak turun ramalan EPS Kossan sebanyak 2.4% hingga 29.3% bagi tahun kewangan 2021 (FY21) hingga FY23.
Unjuran EPS Supermax pula diturunkan sebanyak 21.7% hingga 57.7% bagi FY21 hingga FY24, sementara EPS Hartalega diunjurkan 2.0% hingga 10.7% lebih rendah bagi FY22 hingga FY24.
Jelas Aw, ini terutamanya disebabkan oleh purata harga jualan (ASP) yang dijangka menurun lebih pantas, jumlah jualan lebih rendah susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan trend membeli lebih perlahan serta skala ekonomi lebih kecil.
“Dalam pandangan kami, sektor sarung tangan yang menyaksikan ASP mencatatkan paras tertinggi pada suku kedua 2021 (2Q21) akan menurun pada masa hadapan.
“Ini disebabkan oleh pelan pengembangan yang agresif oleh kedua-dua pengeluar sarung tangan baharu dan sedia ada, trend pembelian yang lebih perlahan dari pelanggan serta tempahan segera semakin berkurangan,” katanya.
Baca : Pertumbuhan pesat sektor sarung tangan, bekalan bakal melebihi permintaan
Kossan juga tidak terkecuali daripada situasi tersebut, namun mungkin menyaksikan kuantum penurunan ASP lebih rendah.
Seperti Kossan, Hartalega mungkin mencatatkan kuantum penurunan ASP yang lebih rendah berbanding pesaingnya kerana kumpulan itu antara yang paling lambat meningkatkan harga jualan sarung tangan.
Bagi Aw, Hartalega akan terus menerajui kedudukan dalam sektor sarung tangan dari segi margin, memandangkan ASP industri mula kembali normal.
Supermax sebaliknya dijangka tidak mampu untuk mengekalkan margin sarung tangannya pasca COVID-19 susulan model pembuatan jenama sendiri (OBM) yang digunakan kumpulan dijangka terjejas dalam persekitaran bekalan dan permintaan yang lebih seimbang.
Aw menyemak turun penarafan ke atas saham Supermax daripada ‘tambah’ kepada ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) diturunkan kepada RM3.50.
Beliau sebaliknya mengekalkan saranan ‘tambah’ saham Kossan dan Hartalega dengan TP masing-masing diturunkan kepada RM4.20 dan RM8.50 sesaham. - DagangNews.com