Persaingan dalam landskap perkhidmatan mudah alih pengaruhi saham Digi : MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Persaingan dalam landskap perkhidmatan mudah alih pengaruhi saham Digi : MIDF Research

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 22 Okt. -  Pendapatan yang lebih rendah daripada jangkaan, persaingan kuat dalam landskap mudah alih serta kemungkinan penamatan penggabungan yang dicadangkan bersama Celcom merupakan antara risiko penurunan yang berpotensi mempengaruhi saham-saham milik Digi.

 

Menurut MIDF Research, mengambil kira kesemua faktor tersebut, pihaknya mengekalkan saranan 'Neutral' ke atas saham Digi.

 

"Sebagai tambahan, cadangan penggabungan antara Digi dan Celcom masih berjalan seperti yang dirancang. Tertakluk kepada kelulusan, transaksi yang dicadangkan dijangka selesai pada suku kedua tahun kewangan 2022.

 

"Ramalan baharu kami diambil kira dalam jangkaan sinergi penggabungan sebanyak RM500 juta dari penjimatan perbelanjaan operasi dan perbelanjaan modal. Kami yakin unit gabungan akan melihat perkongsian skala, pengalaman dan kekuatan kewangan kedua-dua kumpulan telko dalam menyokong aspirasi MyDigital," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Tambah MIDF, pendapatan bagi perkhidmatan mudah alih secara asasnya masih berdaya tahan dengan menyaksikan pertumbuhan 0.2% suku ke suku kepada RM1.343 juta,

 

"Ini terutamanya disebabkan peningkatan pendapatan pascabayar dan prabayar berikutan jumlah asas pelanggan meningkat kepada 10.4 juta.

 

"Bagaimanapun syarikat merekodkan pendapatan digital yang lebih rendah sebanyak 12.2% suku ke suku dan 18.8% tahun ke tahun berikutan pengurangan hasil daripada segmen permainan kerana had tambah nilai telah berubah.

 

"Secara keseluruhan pertumbuhan pendapatan perkhidmatan Digi merosot sebanyak 2.3 tahun ke tahun berikutan PKP yang berpanjangan sejak Jun," jelasnya.

 

Dalam pada itu MIDF berkata, asas pelanggan bagi segmen prabayar terus mengukuh pada suku pertama dengan lonjakan daripada 86,000 kepada 7.1 juta.

 

"Pendapatan purata setiap pengguna (ARPU) Digi tetap stabil pada RM34," katanya. -DagangNews.com