Persaingan merebut kontrak perolehan LMS Batch 2 TLDM  | DagangNews Skip to main content

Persaingan merebut kontrak perolehan LMS Batch 2 TLDM 

Empat LMS kelas Keris yang menjadi tunjang kekuatan Armada Pemerintahan Timur TLDM
Oleh ZAKI SALLEH 

KUALA LUMPUR 17 Jan - Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA '23) dijangka menarik penyertaan syarikat asing yang mengintai peluang bagi perolehanan kapal misi pesisir (LMS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

 

Pada masa sama, penyertaan syarikat tersebut ke Langkawi penting untuk mempamerkan sokongan terhadap penganjuran ini di samping mengetengahkan teknologi mutakhir.

 

LMS merupakan salah satu daripada komponen yang terdapat dalam Pelan Transformasi 15-to-5 TLDM bagi memperkasakan kekuatan armada selain penggantian aset-aset usang.

 

Ketika ini TLDM mengoperasikan empat buah kapal  LMS kelas Keris iaitu KD Keris, KD Sundang, KD Badik dan KD Renong.

 

Kesemua kapal yang dibina syarikat China Shipbuilding Industry Corporation (CSIC) kini menjadi sebahagian daripada kekuatan Markas Pemerintahan Armada Timur di Sabah.

 

Kementerian Pertahanan (Mindef) sebelum ini telah pun memutuskan untuk memastikan keutamaan perolehan LMS dipertimbangkan oleh Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan. 

 

Perolehan LMS sekiranya diputuskan lebih cepat bakal memastikan TLDM dapat mengoperasikan kapal-kapal baru dalam tempoh tiga tahun akan datang.

 

 

tldm
Firma Damen menawarkan rekaan Sigma 9113 bagi perolehan LMS Batch 2

 

 

Melalui Rolling Plan 3 Tahun 2023, TLDM telah meletakkan perolehan LMS Batch 2 sebagai perolehan paling kritikal dan penting.

 

TLDM merancang untuk mendapatkan lapan buah LMS Batch 2 dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM6 bilion menerusi dua fasa pembinaan iaitu tiga dan lima buah kapal.

 

Perolehan tiga kapal pertama ini dijangka memerlukan peruntukan sebanyak RM2.4 bilion.

 

Berbanding perolehan empat LMS pertama dengan kos RM1.17 bilion, pembelian LMS Batch 2 lebih mahal kerana kapal berkenaan lebih besar dan mempunyai persenjataan lebih lengkap.

 

 

tldm
Korvet kelas Ada buatan Istanbul Naval Shipyard, Turkiye

 

 

Sebagai kapal peronda pelbagai fungsi, LMS Batch 2 akan dilengkapi dengan peluru berpandu antikapal, sistem pertahanan udara dan torpedo.

 

Difahamkan, TLDM sendiri sedang mempertimbangkan beberapa model kapal yang sesuai berdasarkan syarikat yang telah menyatakan minat dalam projek LMS Batch 2.

 

Antaranya ialah Istanbul Naval Shipyard, Turkiye menerusi korvet kelas Ada.

 

Kapal sepanjang 99 meter, berat 2,400 tan dengan 90 kru ini mempunyai ciri-ciri yang menepati kehendak TLDM dengan sistem persenjataan tiga dimensi.

 

 

tldm
Korvet Type 056A buatan China

 

 

Ia dilengkapi  meriam Oto Melara 76mm Super Rapid, peluru berpandu antikapal, peluru berpandu antipesawat RIM-116 Rolling Airframe Missile (RAM) dan dua pelancar torpedo 324 mm Mk 46.  

 

Kapal kelas Ada juga mempunyai geladak bagi menampung sebuah helikopter saiz sederhana atau mengendalikan pesawat tanpa pemandu (UAV).

 

Turkiye juga sedang menyiapkan empat buah kapal kelas ini untuk Tentera Laut Ukraine yang merupakan pengguna eksport pertama.

 

Firma Damen dari Belanda pula menawarkan rekaan Sigma 9113 dengan panjang antara 85 hingga 100 meter.

 

Sigma 9113 merupakan rekaan sama bagi kapal korvet kelas Diponegoro milik tentera laut Indonesia, tetapi versi LMS Batch 2 mempunyai teknologi lebih mutakhir.

 

 

tldm
LMS KD Rencong semasa melakukan rondaan di Laut China Selatan

 

 

Ia dilengkapi meriam kaliber 57mm, meriam 30mm, dua pelancar peluru berpandu Kongsberg Naval Strike Missiles dan peluru berpandu antipesawat.

 

Sepertimana yang diketahui umum, rekaan Sigma 9113 merupakan pilihan awal TLDM semasa merancang program kapal tempur pesisir pantai (LCS) sebelum ditukar kepada rekaan Gowind.

 

Peluang juga diintai syarikat perkapalan Jerman, Fassmer yang mengetengahkan rekaan kapal ronda pesisir iaitu OPV 80.

 

Kapal dengan 100 kru ini boleh dilengkapkan dengan pelbagai sistem persenjataan mengikut kehendak TLDM selain mempunyai geladak helikopter.

 

Jerman bukanlah negara asing pada TLDM selain diakui sebagai antara negara yang mempunyai teknologi kejuruteraan maritim paling baik di dunia.

 

Enam kapal peronda generasi baru (NGPV) misalnya adalah teknologi Jerman iaitu berasaskan kapal OPV Meko A100.

 

Dua kapal korvet kelas Kasturi yang berusia 40 tahun juga adalah buatan Jerman tetapi masih menjadi aset tulang belakang TLDM setelah menjalani program baik taraf enam tahun lalu.

 

Kemampuan menyiapkan empat kapal LMS mengikut jadual pula menjadi taruhan firma China, CSIC untuk mendapatkan kontrak LMS Batch 2 TLDM.

 

Sebagai kuasa maritim kedua terbesar dunia, kebolehan kejuruteraan China sememangnya tidak disangkal selain mempunyai tenaga kerja yang kompeten.

 

Korvet Type 056A seberat 1,400 tan dengan panjang 89 meter dilihat sebagai pilihan yang sesuai kerana bersaiz kompak tetapi mempunyai sistem persenjataan tiga dimensi.

 

Kapal ini juga mempunyai ciri-ciri halimunan yang mana tentera laut China mengoperasikan korvet Type 056A bagi operasi rondaan antikapal selam.

 

Berbanding syarikat Eropah, China boleh menawarkan kapal-kapal perang pada harga lebih rendah tetapi masih mempunyai kemampuan yang setanding dengan kapal negara pesaing.

 

Dengan jangkaan projek LCS mungkin akan mengambil masa panjang untuk disiapkan, maka sebab itulah perolehan LMS perlu disegerakan.

 

Apa pun pilihan yang dimuktamadkan nanti, biarlah keputusan tersebut mengikut kehendak TLDM sepenuhnya sebagai pengguna akhir. - DagangNews.com