Persatuan Saintis dan Penyelidik Malaysia terlibat R&D unsur nadir bumi, manfaat kepakaran tempatan atasi masalah industri | DagangNews Skip to main content

Persatuan Saintis dan Penyelidik Malaysia terlibat R&D unsur nadir bumi, manfaat kepakaran tempatan atasi masalah industri

Dr. Muhd Noor Muhd Yunus (dua dari kanan) bertukar-tukar dokumen dengan Dr Nahrul Khair pada majlis menandatangani MoU di Putrajaya, 6 Feb 2024.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 7 Feb - Persatuan Saintis dan Penyelidik Malaysia (MARS) terlibat dalam kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) unsur nadir bumi yang memanfaatkan keupayaan penyelidik tempatan dalam menyelesaikan masalah sebenar industri tersebut.

 

Kerjasama itu melibatkan MARS dengan Pejabat Pengurusan Projek Penyelidikan dan Pembangunan Pengekstrakan Torium daripada Pekatan Lantanid dan Residue WLP atau dikenali sebagai The ThX Project.

 

Pengarah Pengurusan Projek berkenaan, Prof. Ir. Dr. Nahrul Khair Alang Md. Rashid berkata, unsur nadir bumi di Malaysia dianggarkan bernilai lebih RM800 bilion.

 

"Unsur itu merupakan bahan utama untuk menghasilkan peralatan moden seperti magnet motor yang digunakan dalam industri kereta elektrik, telefon pintar, turbin angin dan banyak lagi," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Perjanjian kerjasama ini ditandatangani oleh Presiden MARS, Dr. Muhd Noor Muhd Yunus dan Dr. Nahrul Khair disaksikan oleh Setiausaha MARS, Hasfazilah Hassan dan Pegawai Pentadbiran Pejabat Pengurusan Projek (PMO), Nur Aisyah Mohd Noor yang berlangsung di Putrajaya semalam. 

 

Ia merupakan usaha kerjasama sektor awam-swasta yang menggunakan bakat penyelidikan tempatan dalam menangani masalah industri. 

 

Projek ini dibiayai sepenuhnya oleh syarikat untuk menyelesaikan masalah syarikat dan dipantau oleh Jawatankuasa Pemandu (SC).

 

Sementara itu, Dr. Muhd Noor berkata, kerjasama dalam R&D awam-swasta ini adalah yang pertama seumpamanya setakat ini dan dijangka menjadi satu model yang boleh dijadikan contoh dalam penyelidikan industri lain. 

 

"Pihak MARS yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan dan dianggotai hampir 2,000 penyelidik daripada institusi awam dan swasta termasuk universiti, menyambut baik hasrat kerjasama ini.

 

"Ini kerana objektif projek ini adalah selari dengan salah satu objektif penubuhan MARS yang ditubuhkan hampir 30 tahun yang lalu iaitu memanfaatkan keupayaan penyelidik tempatan dalam menyelesaikan masalah sebenar industri," ujarnya.

 

Kata Dr Muhd Noor, MARS menyokong dan bersedia bertindak sebagai pemudah cara bagi merealisasikan hasrat ini. 

 

"Semoga kerjasama ini akan merancakkan lagi aktiviti R&D di negara ini dan memartabatkan keupayaan bakat pengurusan penyelidikan tanah air," katanya.- DagangNews.com