Persidangan EV Tech 2023 anjuran NanoMalaysia tingkatkan teknologi, infrastruktur dan ekosistem menyeluruh kenderaan elektrik | DagangNews Skip to main content

Persidangan EV Tech 2023 anjuran NanoMalaysia tingkatkan teknologi, infrastruktur dan ekosistem menyeluruh kenderaan elektrik

Malaysia EV Tech 2023 mempamerkan komitmen kukuh negara ini dalam memajukan sektor kenderaan elektrik. 
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Nov - NanoMalaysia Berhad menganjurkan persidangan kenderaan elektrik (EV), Malaysia EV Tech 2023, bagi menyerlahkan usaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)dalam mempertingkatkan teknologi EV, infrastruktur, dan ekosistem menyeluruh bagi meletakkan Malaysia sebagai peneraju utama inovasi dan pembangunan EV.

 

Malaysia EV Tech 2023 yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup itu juga mempamerkan komitmen kukuh negara ini dalam memajukan sektor kenderaan elektrik. 

 

Bertemakan 'Kedaulatan Teknologi dalam Pembangunan Teknologi EV', persidangan itu mengumpulkan pakar, penggubal dasar, peneraju industri, dan para peminat EV, menyediakan pelantar penyatuan idea, pandangan dan inovasi terkini berkenaan EV. 

 

Tumpuan persidangan adalah lapan sesi khas yang dipimpin tokoh terkenal industri EV tempatan serta dua forum interaktif membincangkan hala tuju teknologi EV dan mobiliti mampan dalam negara dan rantau ini. 

 

Arthur berkata, Malaysia sedang menerajui kukuh sempadan industri kenderaan elektrik, memberi penekanan pada pembangunan teknologi canggih. 

 

Katanya, visi MOSTI merangkup peningkatan dan penghantaran sistem simpanan tenaga dan pengurusan, inovasi 'Internet of Nano Things', stesen pengecas hijau luar grid, dan ciptaan prototaip EV yang berkhidmat sebagai platfom pengesahan bagi penerimaan perindustrian yang luas.

 

"Tambahan pula, kita telah mengorak langkah untuk mendemokrasikan teknologi EV melalui inisiatif seperti 'Rapid Electric Vehicles Innovation Validation Ecosystem (REVIVE)'. 

 

"Program REVIVE mengutamakan penukaran daripada kenderaan konvensional, seperti bas dan kereta, menggantikan enjin pembakaran dengan bahagian elektrik yang sepadan. 

 

"Semua inisiatif ini adalah selari dengan komitmen kerajaan untuk mengurangkan intensiti karbon sebanyak 45% berbanding KDNK negara menjelang 2030 berbanding paras 2005 dan mencapai neutraliti karbon menjelang 2050," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

 

nanomalaysia
Dr Rezal Khairi Ahmad

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia, Dr Rezal Khairi Ahmad berkata, sementara Thailand dan Indonesia dengan aktifnya mengejar pengeluar EV asing untuk memasang versi CKD model EV, dan Vietnam menubuhkan pengeluar EV tempatan mereka sendiri, Malaysia mengambil pendekatan berbeza dengan memberi tumpuan kepada pembuatan bahagian komponen-komponen EV yang penting. 

 

Katanya, perubahan strategik ini meletakkan Malaysia dalam kedudukan untuk menjadi pengeksport terkemuka komponen EV dalam rantau ini. 

 

"Ini dibuktikan dalam program Enabling Mobility Electrification for Green Economy (EMERGE) yang menumpu pada teknologi sel bateri, pengurusan tenaga dan sistem penyejukan bateri. 

 

"Kami mengalih pandangan Malaysia ke arah kepakaran komponen, kami berdiri kukuh dalam memperkasakan landskap EV tempatan, dengan visi untuk mempamerkan 10,000 stesen pengecas EV menjelang 2025 di bawah Rancangan Pembangunan Mobiliti Karbon Rendah," katanya. - DagangNews.com