Pertanyaan UMA Bursa Malaysia: Mercury Securities dalam perbincangan potensi pemerolehan peniagaan strategik | DagangNews Skip to main content

Pertanyaan UMA Bursa Malaysia: Mercury Securities dalam perbincangan potensi pemerolehan peniagaan strategik

KUALA LUMPUR 18 Jan - Mercury Securities Group Bhd (MSGB) kini dalam rundingan untuk membeli perniagaan, yang merupakan pelengkap kepada perniagaan sedia ada kumpulan dan anak-anak syarikatnya.

 

"Bagaimanapun, terma dan syarat pembelian masih belum dimuktamadkan. Kumpulan itu akan membuat pengumuman segera setelah terma dan syarat pembelian dimuktamadkan dan dipersetujui semua pihak," kata MSGB dalam jawapan kepada pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) oleh Bursa Malaysia.

 

Selain itu, MSGB berkata, lembaga pengarahnya tidak mengetahui sebarang perkembangan korporat lain berkaitan perniagaan dan hal ehwal kumpulan yang belum diumumkan sebelum ini yang mungkin menyumbang kepada aktiviti dagangan termasuk dalam peringkat rundingan/perbincangan. 

 

Terdahulu, Mercury Securities telah dikeluarkan pertanyaan UMA oleh Bursa Malaysia mengenai penurunan mendadak harga saham mereka, yang mana ia mencapai had ke bawah hari ini.

 

"Pelabur dinasihatkan untuk mengambil perhatian terhadap jawapan syarikat kepada pertanyaan UMA, yang akan berada di laman web Bursa Malaysia di bawah pengumuman syarikat dalam membuat keputusan pelaburan mereka," kata pengendali pasaran itu dalam satu pengumuman hari ini. - DagangNews.com