Pertumbuhan 55% syarikat penerbangan pada 2023 memperkukuh industri penerbangan Malaysia – MAHB | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan 55% syarikat penerbangan pada 2023 memperkukuh industri penerbangan Malaysia – MAHB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 31 Jan - Industri penerbangan Malaysia kekal kukuh dipacu trajektori pemulihan dengan sejumlah 72 syarikat penerbangan beroperasi secara aktif dalam rangkaian lapangan terbang tempatan pada penghujung 2023.

 

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkata lonjakan 55% daripada tahun sebelumnya juga memacu peningkatan kukuh laluan penerbangan yang kini sebanyak 147 destinasi, merangkumi 113 antarabangsa dan 34 domestik.

 

Jumlah laluan penerbangan tersebut adalah 25% lebih tinggi daripada 121 destinasi pada 2022, iaitu 86 antarabangsa dan 35 domestik.

 

Selain pengenalan laluan baharu oleh syarikat penerbangan sedia ada, syarikat pengendali lapangan terbang itu berkata pengembangan tersebut turut didorong oleh pelancaran enam syarikat penerbangan baharu, sementara tujuh syarikat penerbangan lain telah memulakan kembali operasi mereka.

 

“Permintaan trafik yang menggalakkan terus terbukti apabila kumpulan merekodkan 4.0 juta penumpang antarabangsa di Malaysia pada Disember 2023, tertinggi sejak Februari 2020. Ini didorong oleh pembukaan semula sempadan China, peningkatan kapasiti tempat duduk syarikat penerbangan dan penghantaran pesawat baharu,” ulasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Pada 2023, MAHB berkata ia mencatat pencapaian penting dengan melepasi 100 juta jumlah pergerakan penumpang buat kali pertama sejak 2020, mencecah 120 juta penumpang.

 

Pencapaian ini menyerlahkan kadar pemulihan yang besar sebanyak 84.6% berbanding paras pada 2019, tetapi juga menekankan daya tahan dan kebolehsuaian kumpulan dalam menghadapi cabaran global, tambahnya.

 

Meskipun tambang udara meningkat, inflasi dan perubahan cuaca yang teruk, MAHB mendedahkan bahawa lapangan terbang tempatan menyumbang dengan ketara selepas memecah rekod pergerakan penumpang sebanyak 81.9 juta, pemulihan 77.8% daripada paras 2019.

 

Pada Disember 2023, peningkatan trafik penumpang lapangan terbang di Malaysia mencecah 7.7 juta sejajar dengan cuti panjang akhir tahun.

 

“Sektor antarabangsa menyaksikan peningkatan 18% kepada 4 juta penumpang berbanding 3.4 juta penumpang pada November 2023, manakala sektor domestik mencatat 3.7 juta penumpang, melonjak 16% daripada 3.2 juta penumpang sebelumnya,” jelasnya.

 

Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen kumpulan itu telah mengendalikan 3.1 juta jumlah pergerakan penumpang pada Disember 2023, yang terdiri daripada 1.7 juta penumpang antarabangsa dan 1.4 juta penumpang domestik.

 

Prestasi lapangan terbang itu menyumbang 29% kepada 10.9 juta jumlah trafik penumpang yang direkodkan kumpulan pada Disember 2023.

 

Menurut MAHB, lapangan terbangnya di Turkiye itu mencapai rekod tertinggi dalam jumlah pergerakan penumpang sebanyak 37.6 juta orang, meningkat 4.5% daripada 2019 didorong oleh pengembangan pesat syarikat penerbangan dan operasi baharu sektor antarabangsa.

 

“Buat pertama kalinya, bahagian trafik antarabangsa mencapai lebih daripada 50% daripada jumlah penumpang lapangan terbang. Pegasus memulakan perkhidmatan ke empat laluan baharu iaitu, Iskandariah, Mesir; Kutaisi, Georgia; Dortmund, Jerman dan Birmingham, United Kingdom.

 

“Ajet (sebelum ini dikenali sebagai Anodolujet) melancarkan perkhidmatan baharu ke Belgrade, Serbia manakala British Airways meningkatkan perkhidmatan kepada penerbangan harian ke Heathrow. Selain itu, Flynas melancarkan perkhidmatan baharu ke Madinah, Arab Saudi,” katanya.  - DagangNews.com