KUALA LUMPUR 21 Sept - Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada suku ketiga tahun ini, iaitu Julai hingga September, dijangka stabil pada 2.8% tahun ke tahun (YoY), menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Jelasnya, prospek tersebut disokong penjejak KDNK bulanan firma itu yang menganggarkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 2.4% YoY pada Julai 2023, sama seperti pertumbuhan sebenar 2.4% YoY dalam Jun 2023.
Walaupun penguncupan perdagangan luar berterusan, firma penyelidikan itu berkata ia dijangka berkurangan pada suku ketiga tahun ini.
“Eksport pada Ogos telah merosot bagi bulan keenam berturut-turut akibat penurunan eksport pembuatan (17.7%), pertanian (27.1%) dan perlombongan (23.1%),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sehubungan itu, eksport Julai hingga Ogos 2023 merosot 15.9% YoY berbanding penurunan 9.4% YoY yang dicatatkan dari April hingga Mei 2023 dan 11.1% YoY pada suku kedua tahun ini.
"Begitu juga import telah jatuh untuk bulan keenam berturut-turut, terjejas oleh import yang lebih rendah untuk eksport semula pada Ogos 2023 yang merosot 33.5% YoY, import barangan pengantara (22.6% YoY) dan import barangan penggunaan (5.4% YoY), manakala import barangan modal meningkat semula 5.4% YoY," kata Maybank IB.
Sementara itu, import Julai hingga Ogos 2023 telah menyusut 18.7% YoY berbanding kemorosotan 7.3% yang dicatatkan dari April hingga Mei 2023 dan 11.5% YoY pada suku kedua tahun ini.
Bagaimanapun, lebihan dagangan Julai hingga Ogos 2023 meningkat 4.6% YoY kepada RM34.7 bilion berbanding penyusutan 21.7% YoY kepada RM28.3 bilion yang dicatatkan dari April hingga Mei 2023 dan penurunan 9.2% YoY kepada RM53.4 bilion pada suku kedua tahun ini.
“[Peningkatan lebihan dagangan] mencadangkan permintaan luaran bersih (import tanpa eksport) mungkin kurang mengheret – malah semakin meningkatkan – KDNK suku ketiga tahun ini, menunggu data perdagangan luar September 2023.
“Sebagai imbas semula, permintaan luaran bersih (perbezaan antara eksport dan import barangan dan perkhidmatan, serta mencakupi 4.6% daripada KDNK pada separuh pertama 2023) menyusut 3.7% YoY pada suku kedua 2023 (suku pertama 2023: naik 54.4% YoY) apabila KDNK benar menurun kepada 2.9% YoY (suku pertama 2023: naik 5.6% YoY),” tambahnya. - DagangNews.com